JERANTUT – Ketika masyarakat bandar dijangka membazirkan 10 tan makanan sepanjang Ramadan ini, 33 keluarga Orang Asli beragama Islam di Kampung Matau, Sungai Rengai berhampiran Jalan Felda Kota Gelanggi-Lepar di sini pula mengadu mereka tiada makanan untuk berbuka.
Wakil penduduk, Nerta Ibrahim, 41, berkata, sejak mula puasa, belum ada mana-mana pihak menyumbang barangan dapur untuk mereka.
“Sejak pandemik Covid-19 kebanyakan kami tidak masuk ke hutan mencari gaharu, damar dan rotan, cuma bekerja berdekatan tempat tinggal dengan berpendapatan tidak menentu.
“Pendapatan yang tidak seberapa ini menyebabkan kami tidak mampu berbelanja barang keperluan dapur dan menyediakan ala kadar sahaja untuk berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Matau dekat Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini semalam.
Menurut Nerta, ada penduduk yang masuk ke hutan beberapa minggu, tetapi tidak memperoleh hasil untuk dijual memandangkan cuaca hujan selain kawasan rayau sudah banyak ditebang untuk pembalakan dan pembangunan sektor perladangan.
“Sebelum Ramadan sehingga kini, kami cuma berbelanja beras hanya sekadar wang yang ada di tangan, malahan tidak mencukupi bagi keluarga yang ramai,” katanya.
Sementara itu, Ina Ibrahim, 23, yang mempunyai dua orang anak berkata, suaminya tidak dapat keluar bekerja memandangkan keadaan cuaca tidak menentu.
“Hendak masuk hutan cari gaharu, damar dan rotan tidak berbaloi kerana hasil berkenaan sudah tiada dan kini kami hanya menanam pisang dan sayuran di tanah berdekatan untuk keperluan dapur.
“Saya hanya memasak ala kadar untuk keluarga kerana tidak mampu, malahan belum tentu dapat menyediakan baju baharu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.