SEPANG – Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana operator bazar Ramadan yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa termasuk penutupan sementara operasi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan tegas itu adalah antara langkah yang akan diambil jika kerajaan negeri menerima laporan kesesakan pengunjung di beberapa bazar Ramadan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan melulu kerana taklimat dan ingatan akan diberi dahulu sekiranya didapati melanggar SOP yang ditetapkan.
“Saya percaya beberapa tempat lain juga padat namun jika kepatuhan itu tinggi, akhirnya akan dapat lihat satu kawalan yang baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Ramadan Kita Selangor 2021 Kosmopleks, Bandar Baru Salak Tinggi di sini hari ini.
Amirudin berkata, setakat ini satu sahaja tindakan diambil oleh pihak berkuasa iaitu melibatkan bazar Ramadan Greenwood yang telah diarahkan tutup sejak Khamis lalu kerana gagal mematuhi garis panduan SOP.
“Bagaimanapun, bazar Ramadan terbabit telah dibenarkan beroperasi semula semalam dan kita akan lihat sejauh mana kepatuhan mereka,” katanya. – K! ONLINE