fbpx

SOP operasi di sekolah berjaya dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi

PUTRAJAYA – Prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan dilaksanakan dengan baik dengan kerjasama guru-guru, pentadbir sekolah, murid dan ibu bapa adalah antara faktor penyumbang kepada kluster pendidikan yang masih kecil pada masa ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berdasarkan statistik KPM, sebanyak 9.17 peratus atau 99 kluster pendidikan dilaporkan di negara ini dari tempoh 1 Januari hingga 25 April lalu.

Jumlah itu hanyalah peratusan kecil berbanding 39.2 peratus atau 1,080 kluster yang dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh sama.

Ia juga adalah kecil jika dibandingkan dengan kes-kes sporadik yang membentuk 60.8 peratus keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Daripada jumlah keseluruhan 99 kluster pendidikan itu, 52 daripadanya adalah kluster KPM manakala baki 47 adalah lain-lain.

“Kes-kes positif yang dilaporkan dalam kluster KPM jauh lebih rendah iaitu 2,274 kes berbanding kes kluster pendidikan lain yang merekodkan 4,275 kes.

“Jika melihat kepada data ini, tiada keperluan untuk menutup operasi sekolah buat masa ini,” katanya dalam taklimat khas di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, mengikut pecahan 52 kluster KPM, sebanyak 25 kluster dikesan di sekolah asrama manakala 22 di sekolah bukan asrama yang masing-masing merekodkan keseluruhan 1,559 dan 585 kes jangkitan Covid-19.

“Kluster institusi pendidikan guru (IPG) merekodkan dua kluster dengan 39 kes manakala kolej matrikulasi merekodkan dua kluster dengan 41 kes bagi tempoh tersebut.

“Baki satu kluster pula disumbangkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) dengan 50 kes,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, adalah menjadi cabaran utama KPM untuk mengoperasikan sekolah berasrama namun, pihaknya mengeluarkan SOP khas sejak hari pertama sekolah dibuka supaya dapat meminimumkan jumlah jangkitan di asrama.

“Kebanyakan kes jangkitan di sekolah asrama melibatkan penularan antara murid kepada murid yang berlaku sama ada di dalam kelas atau di bilik asrama,” katanya.

Jelas beliau, bagi sekolah harian biasa, analisis jangkitan di dalam kelas pula mendapati punca jangkitan boleh berlaku antara guru kepada guru selain guru kepada murid.

“Ada juga kes berlaku dalam sekolah tetapi daripada kelas berlainan jadi kita siasat bagaimana jangkitan itu boleh berlaku sama ada misalnya ketika menaiki kenderaan awam pulang dari sekolah, di pusat transit atau murid terbabit duduk di taman perumahan yang sama.

“Apabila KPM buat pemetaan sebegini, kita boleh teliti semula prosedur operasi standard di situ agar ia boleh ditambah baik pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, purata kehadiran sejak sekolah dibuka pada 1 Mac lalu merekodkan 90.26 peratus.

“Peratusan ini adalah lebih baik malah menyamai trend kehadiran sebelum penularan Covid-19 di negara ini pada 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM komited meneruskan sesi persekolahan bersemuka kecuali atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengarahkan institusi pendidikan ditutup berikutan penularan jangkitan Covid-19.

“Kita mengakui bukan terbaik dalam melaksanakan operasi sekolah secara bersemuka tetapi kami melaksanakan yang terbaik bagi memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah termasuk ke asrama dan mengikuti pembelajaran dengan baik dan pada masa sama mengurangkan risiko jangkitan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI