SHAH ALAM – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bertindak enggan mengulas sebarang desas-desus akan menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baharu.
Arcyl Sani ketika ditanya berkaitannya hanya sekadar menjawab ringkas,
“Saya reserve (menyimpan) komen,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar kejayaan narkotik di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Kontrak Abdul Hamid yang berkuat kuasa sejak 4 Mei 2019 akan berakhir 3 Mei ini.
Malah Abdul Hamid juga menyatakan akan menyerahkan jawatan tersebut pada tarikh berkenaan walaupun ada pihak menyarankannya menyambung khidmatnya.
Untuk rekod, Acryl Sani dilihat layak kerana beliau berkelulusan tinggi dan menimba banyak pengalaman di pelbagai peringkat PDRM.
Malah beliau juga pernah menjadi pegawai penyiasat, Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Negeri serta Pengarah di tiga jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK). – K!ONLINE