SHAH ALAM – Polis mengulangi kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berada di luar negara selepas diburu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Syariah sebelum ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini kemungkinan itu kuat menyatakan sedemikian.
“Bagaimana berada di sana, Wallahu a’lam dan mungkin dia menggunakan kaedah tertentu boleh berada di luar negara.
“Bagaimana sekalipun, kita tidak berputus asa mengesan disebabkan ia merupkan kes Mahkamah Syariah dan pihak mahkamah itu meminta pertolongan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau memberitahu, sekiranya dia berada dalam negara sudah pasti akan dapat menjejak dan mengesannya.
“Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan dan setiap maklumat itu kita ambil tindakan dengan melakukan pengesahan.
“Tapi apa yang berlaku dia tiada di sana,” jelasnya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas usahawan kosmetik tersebut selepas dia gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu. -K!ONLINE