AKTIVITI kumpulan WJSN terpaksa diteruskan tanpa kehadiran salah seorang anggotanya iaitu Dayoung selepas penyanyi itu disahkan kurang sihat.
Menurut agensi kumpulan itu, Starship Entertainment, Dayoung terpaksa dimasukkan ke hospital selepas penyakit autoimun yang dihidapinya semakin memburuk.
“Pada 22 April lalu, Dayoung mendapatkan rawatan di hospital selepas tahap kesihatannya terganggu akibat penyakit autoimun yang dihidapinya.
“Atas nasihat doktor, dia memerlukan waktu rehat yang panjang untuk fokus kepada rawatan dan penyembuhan. Sekali gus membuatkan Dayoung tidak dapat menyertai jadual promosi terkini bersama WJSN,” ujarnya.
Agensi itu menambah, mereka akan mengeluarkan maklumat lanjut yang terkini berkenaan penganjuran acara sesi bertemu peminat kumpulan WJSN tidak lama lagi.
“Sebagai agensi, kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi dan memastikan kesihatan artis naungan berada pada tahap terbaik.
“Kami juga memohon maaf kerana telah menyebabkan peminat risau,” katanya lagi.
Untuk rekod, WJSN baru-baru ini muncul dengan sebuah album mini baharu berjudul Unnatural.