IPOH – Pengarah syarikat perumahan mampu milik yang ditahan reman bersabit kes salah guna kuasa Selasa lalu, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Ia berikutan suruhanjaya berkenaan telah melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Noor Azna Tajul Anuar mengeluarkan perintah tersebut selepas tempoh reman selama enam hari ke atas lelaki berusia 50 tahun itu tamat hari ini.
Beliau membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Difahamkan, lelaki itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan salah guna kuasa dengan melantik sebuah syarikat di mana dia mempunyai kepentingan di dalamnya bagi menjalankan kerja-kerja di syarikat perumahan berkenaan yang berjumlah lebih RM95,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklum siasatan kes berkenaan telah selesai.
Pada 20 April lalu, lelaki itu ditahan pada pukul 1.25 tengah hari selepas diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di Meru Raya, berhubung kes tersebut.-K!ONLINE