PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih nama Muhammad Afwa untuk nama anak keduanya.
Perkara berkenaan dikongsikan Siti, 42, menerusi Instagram sebentar tadi sambil memuat naik beberapa keping foto gambar bayi lelaki tersebut.
“Hari ini 26 April 2021 bersamaan dengan 14 Ramadan 1442 Hijrah, anakanda saya genap berusia tujuh hari.
“Sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di akhirat kelak.
“Alhamdulillah, hari ini suami dan saya ingin berkongsi wajah dan nama anakanda kedua kami. Kami menamakan anakanda Muhammad Afwa yang membawa makna keampunan dan kemaafan,” tulisnya.
Jelas Siti, pemilihan nama Afwa adalah kerana bayi tersebut dilahirkan pada bulan Ramadan yang merupakan bulan keampunan dan dalam doa malam Lailatuq Qadar juga ada menyebut afwa.
“Afwa melengkapnya aafiyah dan terdapat dalam doa yang saya dan suami pilih iaitu doa lengkap aafiyah.
“Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa dalam keampunan dan kemaafan Allah SWT dan kita semua juga dalam lindungan-Nya,” katanya lagi.
Pada masa sama, pelantun lagu Siapa Tak Mahu itu berkata, beliau akan meluncurkan sebuah video muzik rasmi lagu Anakanda yang ditujukan khas buat anaknya itu dalam saluran YouTube miliknya sebentar lagi tepat pukul 9 malam.
Terdahulu, Siti selamat melahirkan bayi keduanya di sebuah pusat perubatan di Selangor dengan berat 3.84 kilogram pada 19 April lalu pukul 6.21 pagi secara pembedahan. – K! ONLINE