PETALING JAYA – Mengamalkan sifat terbuka, pelakon Izara Aishah tidak kisah sekiranya golongan bukan Islam menjamu makanan di hadapannya sepanjang bulan Ramadan.
Izara atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, 29, berkongsi perkara tersebut dalam satu ciapan Twitter hari ini.
“Kepada rakan-rakan bukan Islam dan kaum wanita yang uzur, saya tidak kisah sekiranya anda hendak makan di hadapan saya, perkara itu tidak kurang ajar.
“Islam ialah agama yang tidak menyusahkan. Tindakan (makan sorang-sorok) itu ialah satu budaya dan saya tidak mempraktikkannya,” ciapnya.
Bagaimanapun, sifat terbuka pelakon drama Jodoh-Jodoh Anissa itu mendapat kecaman netizen kerana pendapat tersebut seperti mempersendakan agama.
Namun, terdapat juga segelintir netizen yang masih menyokong pendapat menantu penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.
Baru-baru ini, isu makan secara sorok-sorok oleh golongan bukan Islam dan wanita yang uzur menjadi bualan netizen.
Ada yang berpendapat tindakan makan secara terbuka di hadapan golongan berpuasa ialah biadab.- K! ONLINE