fbpx

Komik kontroversi BRI “Superman Hew” kekal diharamkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Datuk J.Shamesh (kiri) yang mewakili Kuan Yau ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)” yang didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme kekal diharamkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak permohonan bekas ahli DAP Dr. Hew Kuan Yau bagi semakan kehakiman untuk mencabar pengharaman yang dibuat Menteri Dalam Negeri terhadap komik tersebut.

Dalam penghakimannya Noorin berkata, keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu mengharamkan komik tersebut adalah sah disisi undang-undang, munasabah dan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) berpelembagaan.

“Mahkamah ini mendapati bahawa perintah Menteri Dalam Negeri (ketika itu) yang merupakan responden pertama mengeluarkan perintah itu (pengharaman) adalah wajar dan tidak boleh diganggu mahkamah. Justeru permohonan pemohon ditolak dengan kos RM5,000,” kata hakim itu.

Menurut hakim itu lagi, siasatan ke atas kandungan komik itu mendapati ia mengandungi halaman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang serius.

Sementara itu, peguam Datuk J.Shamesh yang mewakili Kuan Yau ketika ditemui selepas prosiding memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

“Kami akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada untuk merayu atau tidak berhubung keputusan hari ini,” katanya.

Dalam prosiding itu, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly.

Mengikut permohonan semakan kehakiman yang difailkan Kuan Yau selaku pemohon pada 26 November 2019, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan dinamakan masing-masing sebagai responden pertama hingga keempat.

Kuan Yau yang juga dikenali sebagai ‘Superman Hew’ membuat permohonan semakan kehakiman itu selepas kerajaan mengharamkan buku komiknya kerana didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober 2019, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Seksyen 7 (1) menjelaskan bahawa KDN boleh melarang apa-apa penerbitan jika pihak berpuas hati bahawa terdapat bahan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, gugat keselamatan moral, kepentingan awam, kepentingan negara atau kemungkinan untuk mengelirukan pendapat awam.

Menurut KDN, kandungan penerbitan, antara lain, cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta-fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunisme dan mengandungi unsur-unsur yang menggalakkan sokongan dan simpati untuk perjuangan komunis.

Komik yang ditulis oleh Kuan Yau diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina. Larangan kementerian merangkumi kesemua tiga versi bahasa.

Ia sebahagian besarnya mempromosi China dan “Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)” sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.

Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighurs di China yang dikatakan dimasukkan ke dalam “kem pendidikan semula” oleh Beijing sebagai “radikal”.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI