fbpx

Ingat nostalgia pelita punjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
fataniah (kanan) dan Norjunipah menunjukkan sebahagian tempahan pelita punjut di Taman Gemencheh Baru, Tampin semalam.

TAMPIN – Bermula dengan hanya melihat orang menjualnya, siapa sangka bisnes pe­lita punjut yang diusahakan oleh dua sahabat semakin mendapat sambutan sehingga mampu menjual sebanyak 800 unit ketika Ramadan kepada pelanggan di empat negeri tahun ini.

Fataniah Mohd. Radzi, 30, berkata, dia dan rakan sekerjanya, Norjunipah Juhurak, 35, tidak terfikir langsung akan ‘terjebak’ dengan perniagaan tersebut kerana mereka pada mulanya hanya mahu menceriakan suasana menyambut raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Mengimbau semula permulaan bisnes, Fataniah berkata, dia ternampak seorang lelaki menjual pelita punjut di tepi jalan di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah dan ketika itulah terdetik dalam hatinya untuk melakukan perkara sama bagi menceriakan sambutan lebaran.

“Kami tersentuh apabila melihat ramai ibu bapa yang tidak dapat menyambut lebaran bersama anak-anak mereka pada Aidilfitri tahun lalu kerana PKP.

“Jadi, kami beli pelita punjut yang diperbuat daripada buluh daripada orang kampung dan turut menawarkan khidmat memasang di rumah pembeli terutama warga emas.

“Tak sangka pula ramai yang berminat dan pada tahun lalu kami jual 500 batang pelita punjut pelbagai saiz. Tahun ini kami jangka sebanyak 800 akan terjual kepada pelanggan di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor,” katanya ketika ditemui di Taman Gemencheh Baru di sini kelmarin.

Sementara itu, Norjunipah memberitahu, pandemik Covid-19 memberi hikmah tersendiri apabila mereka dapat mengembalikan semula keme­riahan menyambut hari raya de­ngan mengekalkan tradisi memasang pelita punjut.

“Kami bagaimanapun menu­tup khidmat penghantaran ke Selangor ekoran peningkatan kes Covid-19, namun khidmat pos masih disediakan. Penghantaran paling jauh pernah dibuat hingga ke Kedah.

“Pelita punjut bukan hanya sesuai dipasang di kawasan rumah kampung, bahkan di taman-taman perumahan,” katanya.

Menurutnya, pelita punjut mempunyai nostalgia tersendiri berbanding pelita moden kerana dapat diperkenalkan kepada kanak-kanak zaman ini.

Menurutnya, pelita punjut berkenaan dijual dalam saiz pendek dan panjang dengan harga RM10 hingga RM20 sebatang dan pemilik rumah boleh memilih sama ada hendak menggunakan diesel atau minyak tanah untuk memasang pelita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI