fbpx

Empat pengedar syabu, pil ekstasi tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pil erimin 5 dan syabu yang dirampas di Kepala Batas Jumaat lalu.

SEBERANG PERAI – Satu kumpulan pengedaran dadah lumpuh selepas polis menahan empat individu dan merampas dadah bernilai RM241,500 menerusi dua serbuan di Kepala Batas di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 28 ditahan dalam operasi pukul 9.30 malam, manakala tiga lagi berusia 28 hingga 44 tahun ditahan di lokasi kedua pukul 10.10 malam.

Beliau berkata, pihaknya merampas 1,700 biji pil erimin 5 dan 6.232 kilogram (kg) dadah disyaki syabu menerusi serbuan terbabit.

“Dalam serbuan pertama, sebanyak 700 biji pil erimin 5 dan 2.062kg syabu bernilai RM10,500 dirampas.

“Dalam serbuan kedua, polis menemui 1,000 biji pil erimin 5 dan 4.17kg syabu bernilai RM144,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM20,000, tiga bentuk cincin emas dan dua utas rantai emas yang dianggarkan bernilai RM29,235.20.

“Semakan ke atas suspek mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

“Kumpulan itu dipercayai melakukan kegiatan pengedaran dadah di kawasan ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI