BANGKOK – Ibu negara Thailand, Bangkok mengumumkan kewajipan memakai pelitup muka apabila berada di tempat umum bermula semalam, lapor akhbar Bangkok Post.
Gabenor Bangkok, Aswi Kwanmuang memaklumkan, keengganan menurut arahan itu boleh menyebabkan warga kota dikenakan denda sehingga 20,000 baht (RM2,608).
Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengatakan dalam satu pengumuman lain yang dikeluarkan semalam bahawa hukuman juga akan dikenakan terhadap institusi yang gagal melaksanakan peraturan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengunjung.
Arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu dikuatkuasakan ketika Bangkok berdepan kadar jangkitan yang lebih tinggi semasa gelombang ketiga koronavirus.
Bangkok mengesan 8,175 kes yang disahkan sejak gelombang baharu Covid-19 bermula awal bulan ini. Bandar raya itu mencatat kes Covid-19 dua kali ganda lebih tinggi daripada Chiang Mai yang berada di tempat kedua sebanyak 3,148 kes.
Selain Bangkok, 45 wilayah lain di Thailand turut melaksanakan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka sebagai langkah mengekang penyebaran Covid-19. – Agensi