fbpx

Belajar di sekolah ‘boleh masuk otak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembelajaran secara bersemuka di sekolah membuatkan pelajar lebih fokus dan faham. - Gambar hiasan

SETAKAT 20 April lalu, sebanyak 39 kluster institusi pendidikan membabitkan 1,420 kes dikesan. Jumlah itu meningkat sekali ganda dalam tempoh tujuh hari lalu.

Disebabkan itu, beberapa sekolah yang terlibat telah diarahkan tutup bagi mengelakkan penularan lebih besar berlaku.

Bayangkan dalam masa sehari boleh tercetus sebanyak lapan kluster institusi pendidikan sehingga menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa menjadi bimbang menghantar anak ke sekolah.

Disebabkan terlalu ramai yang tidak hadir ke sekolah, guru-guru mengambil inisiatif melakukan tangkap layar pengajaran mereka di papan putih untuk disalin oleh murid yang tidak hadir sebelum dihantar kepada kumpulan WhatsApp bersama ibu bapa.

Boleh dikatakan lebih 10 murid tidak hadir dalam satu-satu kelas pada setiap hari.

Tidak menyalahkan ibu bapa, rasa bimbang itu tetap ada apabila mendengar sekolah berhampiran di tutup sementara disebabkan penularan Covid-19.

Mungkin anak-anak berkongsi van sekolah atau belajar di sekolah agama yang sama.

Persoalannya sekarang, adakah Kementerian Pendidikan akan menutup sepenuhnya sekolah seperti yang dibuat sebelum ini.

Melalui bancian yang dibuat di media sosial Kosmo! Online pada minggu lalu, separuh daripada ibu bapa mahu sekolah ditutup dan dilaksanakan kembali Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Manakala separuh lagi yang turut serta dalam bancian itu tidak bersetuju dengan penutupan sekolah kerana beranggapan PDPR akan membuatkan kualiti pemahaman pelajar menurun.

Ada ibu bapa meninggalkan komen tidak tahan anaknya yang baru berusia tujuh tahun hampir setiap minggu terpaksa melakukan saringan Covid-19 disebabkan ada jangkitan di sekolahnya.

“Pihak sekolah tidak mampu memastikan pematuhan penjarakan sosial, budak-budak pun tidak semua yang berjaga-jaga, jadi sukar untuk kawal, baik tutup dulu sekolah,” kata seorang ibu yang meninggalkan komen di Kosmo! Online.

“Sekiranya buat PDPR balik, siapa hendak pantau anak-anak belajar kerana ibu bapa bekerja, nanti kerja sekolah tidak buat dan akhirnya akan tercicir lagi,” kata seorang bapa yang tidak setuju sekolah ditutup.

Mungkin sukar juga bagi pihak kerajaan untuk menentukan hala tuju persekolahan pada tahun ini, pelajar sekolah baru hendak dapat rentak belajar disebabkan pada tahun lepas hanya lima bulan sahaja mereka bersekolah penuh.

Risiko kesihatan juga perlu diambil kira, mungkin idea seorang pensyarah mengenai penggiliran ke sekolah perlu diambil kira supaya tidak terlalu ramai guru dan murid dalam satu masa.

Menutup sementara sekolah mungkin langkah terakhir akan dilakukan memandangkan pelajar sudah banyak tercicir kerana pengajaran bersemuka saja yang ‘budak boleh masuk otak’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI