PETALING JAYA – Sebanyak 79 buah sekolah di Selangor diarahkan tutup hari ini dan esok berikutan pengesanan jangkitan Covid-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan semalam.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu edaran pekeliling menyenaraikan sebanyak 18 buah sekolah berada di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, PPD Hulu Langat (19) dan PPD Klang (15).
Turut diarahkan tutup ialah masing-masing sembilan sekolah di bawah PPD Gombak dan Petaling Utama, lima melibatkan PPD Hulu Selangor manakala PPD Kuala Langat dan PPD Sepang masing-masing merekodkan dua buah sekolah.
Seorang ibu, Ainuriza Aseh, 38, dari Hulu Langat, Selangor berkata dia mendapat maklumat mengenai arahan penutupan itu pada pukul 5.35 pagi dari kumpulan WhatsApp kelas anaknya.
“Situasi ini agak meresahkan kerana anak baru sahaja memulakan sesi persekolahan tetapi ini adalah langkah terbaik daripada wabak terus menular,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Seorang lagi ibu yang enggan dikenali dari Gombak, Selangor berkata, pada mulanya dia menerima mesej dari guru kelas pada pukul 8.58 malam memaklumkan sekolah ditutup sehari untuk tujuan sanitasi.
Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2021/04/26/senarai-sekolah-yang-ditutup-di-selangor/
“Kira-kira pukul 10 pagi hari ini guru kelas sekali lagi hubungi ibu bapa dan beritahu mengenai notis pemberitahuan terbaharu dari JPN Selangor berhubung penutupan sekolah selama dua hari itu.
“Hati saya berbelah bahagi memikirkan perkara ini kerana dua anak yang berada di tingkatan lima dan tingkatan tiga sudah banyak ketinggalan dalam pelajaran tetapi pada masa yang sama keselamatan mereka perlu diutamakan,” ujarnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar semalam berkata, dua kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, kluster Jalan Bukit Naga tercetus di Klang dan Petaling dengan kes indeks dilapor positif pada 19 April hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini membabitkan kakitangan pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Naga, Shah Alam.
“Sehingga semalam, sejumlah 127 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif,” katanya. – K! ONLINE