BARANGKALI ramai yang perasan kelibat wajah si manis Zara Zya semakin jarang menghiasi kaca televisyen sejak kebelakangan ini. Tidak bermaksud mendiamkan diri apatah lagi langsung tiada tawaran lakonan, Zara ada alasan dan sebab tersendiri bagi meleraikan tanda tanya tersebut.
Dia masih wujud dan tetap bergelar anak seni. Cuma semenjak kebelakangan ini, Zara terpaksa memperlahankan sedikit rentak karier demi mengutamakan beberapa perkara lain.
Cerita anak kelahiran Lenggong, Perak itu, dia masih menerima banyak tawaran lakonan, tetapi sengaja dia memilih untuk fokus menjalani ibadah puasa Ramadan dengan tenang.
“Ramai yang menyangka saya sudah tidak laku gara-gara semakin jarang muncul di kaca televisyen. Tak kurang, ada yang beranggapan saya sudah bersara dan tidak lagi mahu berlakon.
“Alhamdulillah, tawaran sentiasa ada, cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya terpaksa tolak tawaran pada bulan puasa.
“Saya tidak mahu amal ibadah terganggu apabila terpaksa menjalani penggambaran hingga lewat malam.
“Jika penggambaran mengambil masa tidak lama, saya akan terima,” tuturnya membuka bicara bersama Pose.
Ambil kesempatan
Meneruskan perbualan, pemilik nama lengkap Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 36, menyatakan sejak beberapa tahun lalu, dia juga beri fokus terhadap kerja-kerja amal.
Katanya, terbaharu dia menubuhkan sebuah laman web, malaysiaprihatin.com yang bertujuan menyediakan platform sah dan telus untuk mana-mana pihak yang memerlukan dan menghimpun para dermawan berminat menyalurkan sumbangan.
“Tujuan laman web ini dibangunkan untuk menyediakan satu medium sah dan selamat untuk mereka yang memerlukan dan penderma menghulurkan sumbangan.
“Sebelum ini, saya dan rakan selebriti lain sering menerima mesej daripada masyarakat yang merayu bantuan dan pertolongan.
“Justeru, dengan adanya laman web ini, tidak perlu lagi rasa was-was untuk membantu,” katanya.
Jelas pelakon drama Pia itu, 90 peratus hasil kutipan sumbangan akan diberikan kepada pemohon dan bakinya akan diambil pihaknya untuk membiayai kos penyelenggaraan.
Kata Zara, walaupun niatnya murni dan ikhlas membantu meringankan beban insan memerlukan, dia tetap tidak terlepas dituduh netizen mengambil kesempatan dan sekadar menunjuk-nunjuk.
Mengakui sedikit terkilan dengan lemparan tidak berasas sebegitu, Zara bagaimanapun menyifatkan semua kerja-kerja kebajikan yang dilakukan berasaskan kecenderungan untuk membantu sesama insan.
“Ada yang mempertikaikan kononnya saya ingin menunjuk-nunjuk kerana sering mengemas kini media sosial mengenai bantuan.
“Apabila saya membangunkan laman web Malaysia Prihatin, ada pula mulut-mulut yang kata saya nak makan dan songlap duit orang.
“Jangan khuatir, platform ini sangat telus kerana setiap transaksi berlaku secara dalam talian.
Jadi, setiap bantuan yang dihulurkan waima seringgit akan direkod dan invois diberikan melalui e-mel kepada penderma,” katanya.
Usia bukan muda
Tutup soal kebajikan dan karier, Zara yang pernah melalui pengalaman putus tunang bersama pelakon Hafriez Adam mengakui masih takut untuk terlalu ke hadapan dalam setiap perhubungan.
Dia kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan kerana bimbang pengalaman lalu berulang dan luka lama berdarah kembali.
“Saya akui ada berkawan dan mengenali beberapa orang jejaka, tetapi masih belum ada yang serius untuk ke fasa seterusnya.
“Saya pun bukannya muda lagi. Tetapi jauh di sudut hati, sudah tiba masanya untuk saya serius memikirkan soal jodoh dan rumah tangga, lebih-lebih lagi pada usia sebegini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian pada Anugerah Skrin 2019 itu berkata, dia enggan meletakkan sebarang sasaran kerana tidak mahu dirundung kecewa dek terlalu memikirkan soal jodoh.
“Saya tidak kisah siapa pun jodoh sama ada orang biasa mahupun artis. Apa yang penting ialah keserasian dan kejujuran. Doakan yang terbaik,” katanya.
Menutup perbualan, Zara yang mula berhijab penuh sejak Oktober tahun lalu memberitahu dia bakal hadir dengan sebuah drama hari raya berjudul Jom Mak Raya KL arahan Nazir Jamaluddin menjelang sambungan Aidilfitri nanti.