fbpx

Tiga kakitangan kerajaan ditahan buat aksi zig-zag, wheelie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara aksi berbahaya yang dilakukan mereka yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto IHSAN POLIS

PETALING JAYA – Seramai 11 individu termasuk tiga kakitangan kerajaan ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di beberapa lokasi sekitar ibu kota Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Tiga kakitangan kerajaan yang bertindak sebagai dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal itu ditahan bersama individu lain yang berusia 17 hingga 27 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi yang bermula pukul 1 hingga 4 pagi diketuai Inspektor Solihi Shafie bersama 12 anggota Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur telah dilakukan di Jalan Genting Klang, Jalan Ampang, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Jalan Sungai Besi.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai lapan penunggang serta tiga pembonceng motosikal didapati telah merempit dan menunjukkan aksi yang berbahaya.

“Mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi seperti roket, zig-zag, wheelie dan bersaing sesama sendiri.

“Individu terbabit antaranya bekerja sebagai penghantar makanan, pengawal keselamatan, penuntut kolej, pekerja restoran dan juga kakitangan kerajaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Pada masa sama, ujarnya, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di Jalan Genting Klang berikutan menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC tanpa menggunakan nombor pendaftaran seperti yang ditetapkan.

Katanya, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI