PERKAHWINAN merupakan satu institusi terpenting dalam fasa kehidupan seseorang manusia. Menerusi perkahwinan, seseorang itu akan terus mematangkan hidup dengan kehadiran isteri atau suami, anak-anak dan rezeki yang berlipat ganda.
Buat pelakon jelita, Nur Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin, hidupnya kini dikelilingi perkara-perkara membahagiakan terutama selepas kehadiran puteri tersayang, Nur Fatima Aisya sejak Oktober tahun lalu.
Pose berpeluang menemu bual isteri kepada aktor, Fattah Amin itu di pusat beli-belah KLCC baru-baru ini. Mata sesiapa pun pasti akan tertancap terhadap penampilannya yang sedikit berisi, namun semua itu menandakan Fazura kian mengecap bahagia bersama keluarga kecilnya.
POSE: Bagaimana kehidupan Fazura kini selepas sekitar enam bulan bergelar ibu?
NUR FAZURA: Hidup saya berubah seolah-olah apabila saya berjalan bersamanya, orang fikir saya pembantu peribadi Fatima.
Saya setuju dan tak kisah dia nak tarik-tarik rambut, Fatima sahaja boleh tarik rambut saya dan saya boleh ketawa-ketawa.
Fokus sekarang memang terhadap Fatima. Kipas kalau ada tiga biji, semua pergi kat dia dulu. Keutamaan sudah berubah.
Fattah pula sangat protektif. Kalau keluar dari rumah dia akan tanya macam mana kalau orang ramai datang sergah atau kelilingi Fatima. Tiba-tiba nak terkam ke? Fattah lagi paranoid dan protektif. Saya yang kena tenangkan dia.
Sebagai ibu yang berstatus selebriti, adakah okey untuk anda mengkomersialkan anak sejak kecil?
Sebelum Fatima lahir, saya dan Fattah sepakat untuk tidak terlalu eksploit dia ke sana ke sini macam setiap ‘job’ nak ambil. Nak guna dia atau tak nak. Kalau ada tawaran pun, perkara itu takkan jadi isu utama. Kalau ada yang okey untuk libatkan Fatima, kami akan pertimbangkan tetapi tidaklah sampai nak kaut semua benda.
Apakah syarat atau kriteria yang membuatkan anda atau suami bersetuju untuk Fatima diambil ‘bekerja’?
Satu, projek tentang apa. Macam projek iklan dengan KLCC, satu benda yang sangat dekat dan sentimental untuk saya sejak Fatima dalam perut. Macam saya cakap tadi, tiadalah sampai nak kaut semua benda.
Projek dengan KLCC merupakan bayaran pertama untuk Fatima. Kami sudah buka akaun bank untuk dia dan saya akan kreditkan semua duit dalam akaun dia. Bayaran itu untuk simpanan dan bekalan pendidikan apabila dia besar nanti.
Kini Fatima lebih mendapat perhatian berbanding ibu bapanya, apa komen anda?
Saya rasa orang Malaysia memang sukakan bayi. Fatima jarang keluar sebab saya dan Fattah tidak mahu terlalu nak eksploit ke sana ke sini. Fatima bukan ‘konten’ (kandungan pengisian).
Kalau ada kisah tentang Fatima yang ingin dikongsi, saya akan kongsi dalam media sosial saya.
Kalau Fatima sudah besar dan boleh berfikir, terpulang kepada dia untuk mencorakkan kehidupan.
Saya tak mahu meletakkan sasaran yang bukan-bukan. Misalnya, saya dan Fattah bekerja dalam bidang seni dan dia pun kena ikut jejak langkah kami.
Tidak sama sekali. Sebab saya tidak mahu apabila apabila dewasa nanti, dia salahkan saya kenapa dia hidup popular. Kalau dia rasa bidang ini (seni) juga boleh cari makan, itu keputusan dia.
Untuk Fatima, memang tidak akan ada akaun Instagram untuknya atau bagaimana?
Saya memang ada wujudkan sebuah akaun Instagram atas namanya untuk kegunaan pada masa hadapan. Dah ada sebelum dia lahir lagi. Sebab saya tahu akan ada orang yang gunakan nama itu dalam Instagram. Jadi, saya cepat-cepat buat cuma belum aktif.
Tiada siapa tahu kewujudan akaun tersebut. Jika dia sudah bersedia untuk ada akaun Instagram, dia boleh guna akaun yang telah saya buat untuk dia.
Lebih enam bulan usia, apa lagi yang Fatima boleh buat selain tarik rambut anda?
Fatima dah mula ambil makanan pejal sejak tiga minggu lalu. Dia memang suka makan, macam mak dia. Lagi satu dia suka berenang. Yang itu, ikut perangai bapa dia. Nanti saya kongsi video dia sibuk berenang bermacam gaya siap ‘summersalt’ kaki pusing-pusing (tertawa). Sangat menyerupai Fattah Amin.
Sekarang dia sudah belajar duduk, merangkak dan seperti mahu terus berdiri. Dia tinggi macam Fattah dan mudah sesuaikan diri dengan keadaan. Contoh kalau saya tengah kerja, dia tahan mata sampai saya habis kerja.
Bagaimana situasi sepanjang enam bulan menguruskan anak kecil?
Alhamdulillah, ramai yang berada di belakang saya. Ibu kandung, ibu mertua dan pembantu-pembantu saya. Sudah tentulah sekarang susah nak cari orang yang betul-betul boleh jaga Fatima 24 jam seminggu sebab Covid-19.
Pandangan anda tentang pusat asuhan?
Saya memang sangat paranoid tentang perkara itu. Setakat ini pun tak pernah tinggalkan anak hanya dengan pembantu rumah.
Hati saya tak tenang tambahan bermacam berita bukan-bukan berlaku. Saya bersyukur kerana ada peluang untuk tidak hantar anak ke pusat asuhan.
Ada ibu bapa yang tidak punya pilihan kerana tuntutan kerja. Saya masih trauma dengan kes dera bayi yang kena ketuk dengan tukul dan dimasukkan dalam peti sejuk. Itu yang buat saya kurang percaya untuk tinggalkan anak di pusat asuhan. Tak kisah kalau saya kena korbankan sedikit kerjaya janji dapat tengok dan jaga anak sendiri.