fbpx

‘Siang membahang, malam sangat sejuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD YUSOF berteduh di pondok buruk yang dibinanya di tanah milik penduduk di Kampung Sri Keramat, Ipoh baru-baru ini.

IPOH – Seorang lelaki warga emas di Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh di sini terpaksa menjadikan sebuah pondok buruk sebagai tempat berteduh selepas rumah yang didiaminya sebelum ini dirobohkan pemaju.

Lebih menyedihkan, pondok yang didiami Muhammad Yusof Jidan, 66, sejak setahun lalu itu dibina sendiri menggunakan bekas kayu-kayu serta zink rumah lamanya di atas tanah penduduk selepas mendapat keizinan.

Menurut Muhammad Yusof, dia yang hidup sebatang kara te­lah diusir oleh pemaju dan hanya menerima pampasan sebanyak RM1,000, manakala tanah ganti yang sepatutnya diterima sepertimana penghuni lain tidak diketahui statusnya hingga kini.

Beliau yang berasal dari Kampung Sungai Pari antara pene­roka awal perkampungan setinggan di situ yang kemudian diarah berpindah setelah tanah rumah mereka dibangunkan bagi projek perumahan tahun lalu.

“Sebelum itu, saya menum­pang di Surau Al Karamah, Kampung Sri Keramat sebelum imam, Abdul Rashid Ali membenarkan saya bina pondok di atas tanah­nya tidak jauh dari surau.

“Saya mandi dan menggunakan tandas surau kerana pondok ini hanya tempat berteduh. Pada waktu siang memang berbahang dan kalau malam sangat sejuk sehingga menggigit tulang,” kata­nya.

Muhammad Yusof yang ha­nya melakukan kerja-kerja kampung bergantung hidup dengan wang bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500.

Dia yang pernah berumahtangga telah berpisah dengan bekas isteri sejak sekian lama dan mereka tidak mempunyai zuriat.

Katanya, dia telah beberapa kali mengemukakan permohonan mendapatkan tanah ganti di Pejabat Menteri Besar tetapi masih belum berjawab. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI