BARCELONA – Pelumba Suzuki, Alex Rins mengakui hairan apabila pelumba-pelumba lain seolah-olah tidak mengendahkan kehadirannya dalam setiap perlumbaan.
Pada Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve minggu lalu, Rins gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh ketika saingan berbaki enam pusingan.
Meskipun sentiasa memberikan saingan dalam setiap perlumbaan, namun pelumba dari Sepanyol itu bingung apabila kehadirannya seperti tidak dipedulikan.
“Saya bersaing dalam MotoGP sejak 2017 dan saya semakin kompetitif. Bagaimanapun, pelumba lain seolah-olah tidak menganggap saya sebagai pesaing.
“Saya tidak tahu sama ada mereka lakukannya kerana perang psikologi tetapi sedikit kecewa kerana mereka seperti melihat saya tidak kompetitif,” kata Rins.
Dalam pada itu, dia juga sudah bertemu dan berbincang dengan krew pasukan bagi memastikan jenteranya lebih ‘garang’ menjelang GP Sepanyol di Litar Jerez bulan depan.
“Sukar untuk saya cakap ketika ini. Saya juga sudah bertemu dengan kru pasukan dan mereka sudah memberikan maklumat baharu kepada saya,” ujarnya. – AGENSI