PETALING JAYA – Seorang pemilik kedai runcit berdepan detik mencemaskan apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang ketika mahu membuka kedai runcitnya di Bandar Baru Selayang Fasa 2b, Batu Caves, di sini kelmarin.
Tidak cukup dengan itu, mangsa yang berusia 58 tahun turut diikat kakinya dengan tali rafia di belakang kedai runcit berkenaan, bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi ketika mangsa mahu membuka kedai runcit tersebut.
“Secara tiba-tiba telah datang dua lelaki bersenjatakan sebilah parang terus menarik mangsa ke dalam kedai dan menutup ‘shutter gate’ hadapan serta mengikat kakinya dengan tali rafia di belakang kedai.
“Suspek kemudiannya telah menyelongkar barang-barang dan mengambil pelbagai jenis rokok dan wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM2,000,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, ketika suspek mahu melarikan diri melalui pintu depan kedai, mereka telah terserempak dengan anak mangsa lalu bertindak menyamunnya.
“Suspek telah mengacukan parang lalu merampas cincin emas yang dipakainya menyebabkan dia kerugian RM5,000,” ujarnya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak melakukan serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Gombak dan Sentul, Kuala Lumpur, semalam.
“Seramai empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 35 berjaya diberkas dan beberapa barang kes antaranya kereta Toyota Vios berwarna putih dan sebilah parang panjang turut dirampas.
“Kesemua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu akan direman selama enam hari bermula hari ini hingga Jumaat,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. – K! ONLINE