PETALING JAYA – Polis hari ini mengesahkan pemandu kenderaan yang merempuh seorang penunggang motosikal dari Batu Caves menghala ke Laman Damai, Kepong sepertimana yang tular di media sosial telah tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemandu berusia 33 tahun dan beralamat di Bandar Baru Sentul itu membuat laporan polis pada pukul 5.08 petang, semalam bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan rakaman percakapan, pemandu yang bekerja sebagai tukang cuci itu mengaku dia tidak perasan lampu isyarat di tempat kejadian masih merah dan apabila berlaku kemalangan jalan raya, pemandu telah terkejut dan berasa takut lalu terus balik ke rumah.
“Ujian saringan air kencing telah dilakukan terhadap individu berkenaan dan keputusannya adalah negatif,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.
Terdahulu, tular satu video di laman sosial Facebook memaparkan sebuah kereta jenis Honda City berhenti di lampu isyarat dan secara tiba-tiba bergerak dengan laju lalu merempuh seorang penunggang motosikal di hadapannya.
Ekoran rempuhan itu, penunggang telah terjatuh bersama motosikalnya ke jalan raya dan kejadian itu mendapat kecaman daripada orang ramai di laman sosial berkenaan. – K! ONLINE