PETALING JAYA- Suasana pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka disifatkan lebih seronok apabila dapat belajar bersama rakan-rakan berbanding seorang diri menerusi kelas online.
PdP bersemuka itu juga membolehkan pelajar menguasai sesuatu subjek lebih cepat apabila dapat berinteraksi bersama guru secara berhadapan sekiranya tidak memahami perkara diajarkan.
Susulan itu, rata-rata pelajar sekolah berharap PdP dapat diteruskan secara bersemuka selepas mereka menghabiskan banyak masa sebelum ini melalui proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Berkongsi perkara itu, seorang pelajar Anjana Velaizam berkata, PdP secara bersemuka bukan sahaja menarik malah membolehkannya lebih fokus di dalam kelas.
“Apabila belajar di rumah secara online dan tidak memahami apa diajar guru, saya tidak tahu untuk bertanya kepada siapa, adakala ibu juga memahami subjek itu sekali gus tidak dapat membantu.
“Namun, sewaktu belajar di dalam kelas, kami dapat bertanya kepada guru jika tidak memahami sesuatu perkara yang diajar seterusnya menyelesaikan masalah dengan lebih cepat,” katanya.
Sementara itu,Nur Aina Syakirah Mohd. Haidir pula menyifatkan PdPR seperti sebelum ini menyebabkan dia berasa tertekan dan kurang memahami subjek diajar guru.
“Adakalanya saya tidak faham apa yang diajar oleh guru ketika dalam kelas online selain arahan tugasan kerja rumah yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp.
“Saya lebih suka belajar di dalam kelas kerana boleh terus bertanya kepada guru jika tidak memahami sesuatu dan ada kawann-kawan untuk bersembang,” jelasnya.
Selain itu, PdP secara bersemuka yang dilaksanakan ketika ini dilihat berjaya memaksimumkan fokus pelajar di dalam kelas berbanding kaedah PdPR.
Seorang guru Bahasa Inggeris, Randip Kaur Valdersingh berharap diberi peluang mendidik pelajar secara bersemuka kerana menyifatkan lebih berkesan selain mempunyai elemen sentuhan peribadi.
Katanya,indikasi penerimaan pelajar terhadap kaedah itu juga dapat diterjemahkan menerusi kehadiran ke sekolah apabila mencatatkan angka begitu memberangsangkan.
“Jika diimbau kembali, sambutan pelajar terhadap PdPR dilihat kurang menggalakkan, malah sebagai guru kami juga tidak dapat mengawal penglibatan mereka dalam kelas disebabkan beberapa kekangan.
“Ini yang dirisaukan kerana tidak semua pelajar mempunyai kelengkapan mencukupi untuk mengikuti PdPR, ada yang perlu berkongsi dan hanya boleh mengikuti kelas pada waktu malam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya yang berpengalaman mengajar selama 21 tahun,kaedah bersemuka memberi ruang kepada guru-guru untuk mengetahui kelemahan pelajar sekali gus memperbaikinya secara langsung.
“Sebagai contoh, jika ada pelajar yang tidak boleh membaca, saya akan memanggil mereka dan memperbaikinya secara berhadapan kerana elemen sentuhan peribadi perlu dalam mendidik” jelasnya.
Senada dengan Randip ialah seorang guru matematik, Nur Azli Abu Bakar yang berharap agar kaedah bersemuka diteruskan buat masa ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“PdP bersemuka memang lebih berkesan berbanding PdPR, kami memang berharap agar diteruskan kerana sesi persekolahan dijalankan mengikut SOP seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
“Pematuhan pelajar terhadap SOP juga berada pada tahap terbaik di mana mereka sentiasa memakai pelitup muka, menjaga jarak sosial dan kerap mencuci tangan ketika berada di sekolah,” katanya.
Jelasnya lagi, kaedah bersemuka turut membolehkan guru-guru membuat penilaian dan pentaksiran secara langsung terhadap pelajar bagi memperbaiki kelemahan mereka.
“Kalau PdPR memang ada sedikit kekangan tatkala mahu menilai tahap pelajar sekali gus menyukarkan guru mengenalpasti tahap kebolehan pelajar khususnya dalam menguasai sesuatu subjek,” jelasnya.
Sementara itu, seorang guru Program Pendidikan Khas Integrasi, Hoh See Khong mahu PdP bersemuka diteruskan terutamanya melibatkan pelajar-pelajar keperluan khas.
“PdPR untuk murid pendidikan khas merupakan satu cabaran besar kerana kebanyakkan daripada mereka tidak boleh fokus dalam jangka masa panjang terutamanya apabila belajar secara online.
“Ia turut menyukarkan ibu bapa kerana perlu sentiasa bersama pelajar lebih-lebih lagi apabila ada perlu ke kerja dan tidak dapat menemani pelajar,” katanya.
Jelasya, keselamatan pelajar pendidikan khas di sekolah juga berada pada tahap maksimum menerusi pelaksanaan kelas secara penggiliran.
“Kelas untuk pelajar terbabit dipecahkan mengikut kumpulan bagi membolehkan penjarakkan sosial dapat diamalkan sekali gus mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, sokongan untuk terus melaksanakan PdP secara bersemuka turut diterima daripada ibu bapa dengan menyifatkan kaedah itu paling berkesan berbanding PdPR.
Bagi waris pelajar, Siti Farshila Mohd. Yaim berkata, kaedah bersemuka memudahkan pelajar untuk menanyakan guru-guru secara langsung sekiranya tidak memahami sesuatu subjek.
“Saya risau jika PdPR terus dilaksanakan, tahap penguasaan pelajar menjadi lemah kerana mereka tidak menumpukan sepenuh perhatian apabila belajar di rumah berbanding berada di sekolah,” jelasnya.
Seorang waris pelajar pendidikan khas, Fazlina Othman menjelaskan, PdPR mmeberi cabaran besar buatnya ekoran anaknya sering mengamuk apabila belajar di rumah.
“Di sekolah, perwatakan dia lebih selesa dan tidak mengamuk kerana dapat berjumpa kawan-kawan. Jadi,saya begitu berharap PdP bersemuka diteruskan untuk keselesaan pelajar,” kongsinya. -K! ONLINE
habis//