KOTA BHARU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam yang turun ke laut untuk mencandat sotong di perairan Kuala Besar di sini kelmarin diteruskan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, seramai 64 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi yang bermula pada pukul 8 pagi tadi.
“Kita berharap seorang lagi mangsa, Zulshahmin Danial Zulazman, 26, dapat ditemui hari ini.
“Dua mangsa yang ditemui selamat selepas 19 jam berpaut pada kotak fiber petang semalam, Mat Awang@Jali, 54, dan Mat Harun Mohd. Nor, 55, kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia ( USM) Kubang Kerian di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Difahamkan, penduduk kampung mendakwa bot yang dinaiki tiga mangsa itu ditemui berada di kawasan laut berkenaan.
Usaha untuk menarik balik bot itu ke kawasan daratan akan dilakukan dengan bantuan nelayan dan penduduk kampung.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, tiga nelayan itu dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka ketika turun ke laut untuk mencandat sotong terbalik pada jarak 19 kilometeri dari Kuala Besar di sini.
Kejadian itu berlaku pada pukul 8.30 malam kelmarin ketika ribut dan hujan lebat. – K! ONLINE