HANOI, Vietnam – Sepasang kekasih menjadi tular bulan lalu selepas memilih tema karakter robot kucing popular, Doraemon sebagai tema majlis pertunangan mereka, lapor portal berita Oddity Central kelmarin.
Khanh Lam, 28, dan Xuan Khanh, 29, merupakan peminat tegar animasi Doraemon dan tidak menyangka tema pilihan itu mendapat sokongan netizen.
Pasangan itu mula mengumpul apa sahaja barangan yang berkaitan Doraemon enam bulan lalu bagi merealisasikan majlis pertunangan impian mereka.
Kesemua barangan daripada alas meja, kek dan pakaian pengiring perempuan adalah berwarna biru dengan elemen Doraemon.
Xuan berkata, dia berpacaran dengan bakal isterinya itu selama enam tahun namun, wanita itu ‘menjalin hubungan cinta’ dengan Doraemon lebih lama daripada tempoh itu.
Keluarga Khanh Lam memiliki kedai buku, justeru, dia terdedah kepada komik Doraemon dan manga lain sejak dari kecil lagi. Manga adalah komik yang berasal dari Jepun.
“Saya terlalu sukakan karakter itu dan setiap kali ahli keluarga melancong ke mana-mana, mereka akan membawa pulang cenderahati Doraemon,” kata Lam.
Bertentangan dengan kepercayaan popular, barangan bertemakan Doraemon boleh dibeli dengan harga berpatutan dan kebanyakannya milik pasangan itu dan ahli keluarga mereka.
Pasangan itu juga merancang majlis perkahwinan dengan tema sama pada Julai ini. -Agensi