BARCELONA – Presiden baharu Barcelona, Joan Laporta sedang berusaha keras untuk memastikan bintang pasukan itu, Lionel Messi terus kekal di Camp Nou ketika kontraknya bakal berakhir Jun ini.
Gergasi Sepanyol itu dilaporkan sudah bersedia dengan tawaran kontrak selama tiga tahun, namun mereka dipercayai sudah tidak mampu untuk menawarkan nilai sebanyak €75 juta (RM372.85 juta) setahun kepada pemain itu seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka cuba mencari formula lain untuk memastikan Messi terus kekal bersama mereka iaitu jangka masa kontrak yang lebih lama dengan nilai yang lebih rendah supaya penurunan gaji yang bakal diterima pemain itu tidak ketara.
Messi sebelum ini dilaporkan lebih gembira dengan cadangan kontrak tahunan bersama kelab itu berdasarkan perasaan peribadi dan perancangan masa depan kelab itu.
Laporta pula bersetuju dengan cadangan berkenaan dan berharap dia mampu meyakinkan Messi untuk menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan sambungan selama setahun lagi.
Messi yang bakal memasuki usia 34 tahun pada Jun ini mengakui mahu mengakhiri kariernya dengan beraksi di Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat.
Namun, Laporte percaya Messi masih mampu untuk bermain pada peringkat tertinggi dan kekal beraksi dalam saingan kompetitif di Eropah berbanding berkelana ke Amerika Syarikat.
Paris Saint-Germain dan Manchester City dilaporkan sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat kapten Argentina itu sekiranya benar dia mahu meninggalkan Camp Nou. – AGENSI