LONDON – Kolam renang ‘terapung’ pertama di dunia yang dibina pada ketinggian 35.1 meter (m) di kota London akan dibuka bulan depan, lapor akhbar The Sun semalam.
Kolam renang mempunyai dasar kaca itu terletak di antara dua blok pangsapuri mewah, Embassy Gardens. Kolam lutsinar itu menawarkan pemandangan kota raya London dari tingkat 10 bangunan tersebut.
Memiliki panjang 25m, kolam renang tersebut mampu menampung sehingga 400 tan air.
Dibawa dari negeri Colorado, Amerika Syarikat, kolam renang itu dihubungkan pada kedua-dua bangunan itu menggunakan teknologi yang mampu menyesuaikannya dengan perubahan angin.
Menurut laman web kolam renang tersebut, konsep untuk menghasilkannya muncul pada tahun 2013.
“Ia merupakan satu idea yang hebat dan kami berasakan ia amat istimewa.
“Pada waktu itu, kami tidak tahu adakah idea itu dapat dilaksanakan, dan jika lima tahun lepas, ia sememangnya tidak mampu dilaksanakan.
“Disebabkan adanya teknologi yang maju, barulah ia menjadi realiti,” ujar Pengerusi Ballymore, Sean Mulryan.
Ballymore merupakan syarikat pemaju yang membangunkan kolam renang tersebut.
“Apabila anda berenang, anda boleh melihat ke bawah. Anda akan berasa seperti terapung di udara” kata salah seorang juruteranya, Brian Eckersley.
Majlis pembukaannya dijangka diadakan pada 19 Mei ini. – Agensi