KUALA NERANG – Kemalangan yang meragut tiga nyawa di Kilometer 5 Jalan Kuala Nerang- Semeliang di sini pada petang ini dipercayai akibat mangsa mengelak haiwan yang melintas jalan secara tiba-tiba.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, dua beranak berusia 37 dan enam tahun yang menaiki kereta Proton Wira maut di lokasi kejadian.
Turut maut ialah penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 berusia 20 tahun manakala pembonceng berusia 11 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Semeliang menuju Kuala Nerang manakala motosikal dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan kerana dikatakan mengelak haiwan yang secara tiba-tiba melintas jalan.
“Pada masa sama, datang sebuah motosikal dari arah bertentangan lalu melanggar bahagian tepi pintu hadapan sebelah kiri kereta berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, akibat perlanggaran tersebut, pemandu dan penumpang kereta serta penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Kuala Nerang,” katanya.
Menurutnya, semua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE