RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menemui bungkusan daun ketum seberat 55 kilogram (kg) yang ditinggalkan di kawasan hutan berhampiran pangkalan haram Tok Rusa di sini semalam.
Daun ketum itu dijumpai anggota PGA pada pukul 9 malam semasa melakukan rondaan rutin di kawasan tersebut.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, siasatan awal mendapati, daun-daun ketum berkenaan dipercayai cuba diseludup oleh beberapa individu ke negara jiran menggunakan pangkalan haram itu.
Menurutnya, penyeludup yang menyedari kehadiran PGA telah bertindak membuang bungkusan plastik di kawasan itu.
“Selepas membuat pemerhatian dan intipan selama 30 minit dan mendapati tiada individu yang tampil untuk mengambil bungkusan itu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam bungkusan itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 55kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM1,650,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, bungkusan itu kemudian dibawa pulang Balai Polis Jeram Perdah di sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE