fbpx

Aishah Azman kecewa penerbit drama ‘lepas tangan’ isu Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aishah

PETALING JAYA – Pelakon Aishah Azman meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang penerbit drama yang didakwa enggan bertanggungjawab apabila beberapa orang pelakon dijangkiti wabak berkenaan.

Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman, 25, menerusi InstaStorynya berkata, penerbit itu memaksa seorang pelakon yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 untuk hadir menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini.

“Saya sangat kecewa dengan sikap penerbit drama itu kerana memaksa seorang pelakon yang merupakan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 untuk hadir menjalani penggambaran tanpa memikirkan kru produksi yang lain.

“Semuanya atas sebab tak mahu bayar lebih untuk tambahan hari. Dia juga membiarkan para pelakon untuk bekerja sehingga 24 jam atas sebab tak nak mengeluarkan bajet yang lebih,” katanya.

Kongsi pelakon yang pernah membintangi drama Suri Katriana itu lagi, ini merupakan kerjasama pertamanya bersama penerbit berkenaan.

“Pertama kali saya bekerjasama dengan seorang penerbit yang pentingkan diri begini. Selepas dapat tahu pelakon itu positif Covid-19, dia langsung enggan bertanggungjawab bagi membayar semua kos ujian calitan untuk semua yang terlibat dengan drama ini.

“Moga Allah membalas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan setimpal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aishah bersyukur kerana keputusan negatif diterimanya selepas membuat ujian calitan di sebuah klinik swasta semalam.

“Alhamdulillah, keputusan calitan Covid-19 saya negatif. Terima kasih semua yang mendoakan baik-baik untuk saya dan keluarga serta semua kru produksi,” tulisnya lagi.

Terdahulu, tiga orang pelakon iaitu Sweet Qismina, Laila Nasir dan Farisha Irwayu disahkan positif Covid-19 ketika mereka menjalani penggambaran sebuah drama bersiri baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI