fbpx

[VIDEO] 10 kru cemas kapal karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kru bot barter trade yang terselamat selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak dalam kejadian di Pulau Pisang, Pontian, Johor pagi semalam.

JOHOR BAHRU – Sepuluh kru kapal barter trade warganegara Indonesia berdepan detik cemas apabila dua bot dinaiki mereka karam di dua lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Pisang, Pontian dekat sini awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada Zon Maritim Batu Pahat kira-kira pukul 4 pagi.

Jelasnya, dua kapal yang karam itu adalah pada kedudukan 5.6 batu nautika dan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

“Berdasarkan laporan awal, kedua-dua bot membawa muatan kelapa bulat dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke Batu Pahat sebelum berdepan cuaca buruk serta hujan lebat.

“Bot barter trade pertama yang membawa enam kru lelaki warga Indonesia telah karam namun kesemua kru berjaya diselamatkan nelayan tempatan yang berada berhampiran dan membawa mereka ke Jeti Pontian Kecil.

“Manakala empat kru lelaki warga Indonesia dari bot kedua telah diselamatkan bot barter trade lain yang berada di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurul Hizam menambah, susulan itu, pihaknya telah menggerakkan Bot Kilat 13 ke lokasi kejadian untuk mengambil empat mangsa bot kedua sebelum dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

“Kesemua 10 mangsa yang berusia antara 27 hingga 53 tahun dilaporkan selamat dan dalam keadaan stabil serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua bot berkenaan bagaimanapun didapati telah tenggelam sepenuhnya,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI