fbpx

Wanita warga emas tipu PATI dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada pasport serta wang tunai yang dirampas menerusi satu serbuan di Kota Damansara, Selangor, semalam. - Foto IHSAN IMIGRESEN

PETALING JAYA – Tindakan licik seorang wanita warga emas memperdayakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja PATI tidak berpanjangan apabila dia ditahan dalam satu serbuan di Kota Damansara, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, wanita warga tempatan itu ditahan dalam satu operasi khas kira-kira pukul 4.30 petang oleh sepasukan sembilan orang pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas.

“Operasi khas ini dijalankan hasil risikan selama sebulan ke ats kegiatan sindiket penipuan itu dan pemeriksaan di dalam premis telah menemui sebanyak 79 pasport Bangladesh yang terkandung Pas Lawatan Sosial (PLS) telah tamat tempoh dan ada antaranya tidak mempunyai sebarang pas.

“Seorang lelaki tempatan yang berada di tempat kejadian sewaktu serbuan dilakukan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, turut dirampas dalam serbuan adalah wang tunai berjumlah RM37,050 serta dokumen-dokumen berkaitan yang digunakan oleh suspek dalam kegiatan tersebut yang menyasarkan PATI warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mencari pelanggan dalam kalangan PATI untuk didaftarkan kononnya sebagai pekerja bagi tiga syarikat di atas nama suspek wanita warga emas yang ditahan itu.

“Setiap PATI yang berminat akan dikenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka didaftarkan dalam Program Rekalibrasi oleh suspek,” katanya.

Suspek wanita berusia 61 tahun itu kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, iaitu tanpa kuasa sah memiliki pasport dikeluarkan untuk kegunaan orang selain dirinya dan Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63, iaitu cuba untuk mendapatkan bagi diri orang lain suatu pas dengan mengemukakan maklumat palsu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiga syarikat tersebut tidak pernah beroperasi sebagaimana didaftarkan sebaliknya hanya digunakan untuk tujuan pendaftaran program penipuan itu semata-mata dan mereka juga dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan yang lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI