SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan berpendapat belum ada keperluan untuk menutup semua sekolah berikutan penularan dan peningkatan kes positif Covid-19 yang melibatkan murid dan pelajar di sekolah.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, penularan kes positif Covid-19 di sekolah termasuk di negeri ini masih lagi terkawal dan hanya sekolah terlibat sahaja ditutup buat sementara waktu.
“Saya rasa belum ada keperluan (tutup semua sekolah) baru dua sekolah, ia dapat di kawal oleh Kementerian Kesihatan dengan baik nampaknya. Tiada keperluan, hanya sekolah yang terlibat (ditutup).
“Dua buah sekolah saya dimaklumkan tetapi terkawal, satu sekolah berasrama penuh dan satu sekolah biasa,” katanya semasa sidang akhbar selepas Program Menteri Bersama Asnaf Daerah Seremban di Dewan Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini.
Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini diarahkan ditutup sehingga 29 April depan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selepas terdapat pengesanan kes 17 kes positif di sekolah tersebut.
Dalam masa yang sama, 179 individu termasuk pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu pula telah dikuarantin di pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai berikutan terdapat tiga kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan. -K! ONLINE