GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang tidak menerima aduan secara rasmi daripada pengguna berhubung kenaikan harga minyak masak untuk botol seberat 5 kilogram (kg).
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, berdasarkan maklumat daripada aplikasi Price Catcher setakat ini, harga minyak masak botol 5 kg adalah sekitar RM25 hingga RM28.
“Tiada aduan rasmi mengenai kenaikan harga minyak di negeri ini, namun pihak kami akan terus memantau dan mengambil tindakan sekiranya berlaku kenaikan harga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Bukit Jambul di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.
Akhbar hari ini melaporkan harga minyak masak naik sehingga melepasi RM30 untuk botol 5 kg yang dikesan bermula awal tahun ini.
Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, sebanyak 14 peniaga daging lembu telah diberi amaran akhir oleh pihaknya kerana didapati masih menjual daging lembu tempatan pada harga lebih tinggi daripada yang telah ditetapkan.
Beliau menambah, satu tindakan kes juga diambil terhadap peniaga ayam serta 14 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 kepada peniaga bagi operasi rantaian ayam di negeri ini. – K! ONLINE