KLANG – Tindakan seorang tukang masak yang tular memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) secara melulu, Rabu lalu membawa padah apabila ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, suspek berusia 58 ditangkap petang tadi selepas hadir membuat laporan polis ke Balai Polis Trafik Klang Selatan.
Katanya, penahanannya selepas penularan satu klip video berdurasi 17 saat yang memaparkan pemanduan sebuah SUV jenis Honda CRV secara berbahaya dengan memotong dari arah kiri secara tiba-tiba di jalan Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Berdasarkan video yang tular, kejadian berlaku pukul 4.55 petang.
“Klip video tersebut juga memaparkan pemandu kenderaan tersebut telah secara tiba-tiba memberhentikan kenderaannya.
“Ini menyebabkan pemandu yang merakam video tersebut turut membrek secara mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, suspek yang sedang bekerja telah menerima satu rakaman video berhubung kejadian itu selain menerima banyak panggilan telefon dan pesanan mesej menerusi apliksi WhatsApp.
Ujar Shamsul Amar, dia kemudiannya telah datang membuat laporan polis mengenainya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Terdahulu, tular video aksi sebuah SUV memandu melulu memasuki laluan bertentangan yang dipercayai menyebabkan kepala anak kepada penumpang di belakang kenderaan itu seolah-olah terhantuk kepada komponen dalam keretanya.
Ekoran kejadian itu juga tular beberapa video lagi di laman sosial Facebook memaparkan aksi dipercayai pemandu sama dengan tindakannya sebegitu dilakukan sejak 2018. -K!ONLINE