TIGA pelumba pelapis negara di bawah seliaan ZK Racing Team kini berada di Portugal untuk memulakan misi menjelang aksi pembukaan perlumbaan Kejuaraan FIM CEV Eropah di Litar Estoril, Portugal esok.
Pelumba berbakat negara, Adam Norrodin akan meneruskan perjuangan dalam saingan Moto2, Syarifuddin Azman akan menyertai Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia manakala Muhammad Sharul Ezwan Sharil mewakili negara dalam saingan European Talent Cup (ETC).
Kesemua pelumba berkenaan bakal memulakan kempen baharu di Eropah dengan masing-masing mempunyai misi tersendiri pada perlumbaan Litar Estoril.
“Sesi latihan pertama di Estoril sangat baik dan catatan yang saya peroleh lebih baik jika ingin dibandingkan tahun lalu. Bagi saya, pasukan lakukan dengan baik meskipun pada sebelah pagi kita sedikit bekerja keras.
“Saya harap kita meneruskan aksi terbaik ini sehingga ke perlumbaan sebenar nanti. Sasaran saya cuma satu iaitu ingin tampil cemerlang pada perlumbaan pembukaan nanti,” kata Adam.
Sementara itu, Syarifuddin menjangkakan saingan pembukaan di Estoril mungkin mencabar apabila diramalkan hujan, namun keadaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk tampil dengan baik.
“Sesi perlumbaan minggu ini dijangka hujan jadi sukar untuk saya mendapatkan pelarasan terbaik dengan keadaan litar licin seperti ini.
“Pasukan dan mekanik mengharapakan sesi perlumbaan dalam keadaan kering walau bagaimanapun kami akan kekal fokus dan melakukan persiapan terbaik minggu ini,” ujar Syarifuddin.