fbpx

Operasi menyelamat bertukar misi pencarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Misi pencarian Kapal KRI Nanggala-402 tetap diteruskan meskipun tiada petunjuk baharu yang membawa kepada penemuannya. - AFP

JAKARTA – Pencarian kapal selam Indonesia, KRI Nanggala-402 tetap diteruskan meskipun ia telah melepasi tempoh masa anggaran ketahanan bekalan oksigen pada pukul 3 pagi tadi, lapor Detik.com pagi ini.

Satu-satunya penemuan paling penting dalam operasi mencari dan menyelamat itu adalah isyarat yang dikesan berasal daripada sebuah objek yang tidak dikenal pasti, petang semalam.

“Kami hanya mempunyai masa sehingga pukul 3 pagi esok (hari ini) jadi, kami memaksimumkan semua usaha hari ini (semalam),” kata jurucakap Tentera Nasional Indonesia,  Achmad Riad semalam.

Setakat pukul 3 pagi tadi, pencarian KRI Nanggala-402 sudah melepasi tempoh 72 jam yang diberikan untuk kapal itu bertahan dengan bekalan oksigen, namun sehingga kini, masih tiada tanda-tanda penemuannya.

Bagaimanapun, usaha mencari masih tetap diteruskan dengan sejumlah 21 kapal dikerahkan dalam pencarian termasuk KRI Alugoro-405 yang juga merupakan kapal selam.

Misi pencarian kapal selam buatan Jerman itu turut mendapat bantuan daripada negara-negara lain seperti Singapura, Australia, Malaysia, India serta sebuah pesawat Poseidon milik tentera Amerika Syarikat yang dijangka tiba malam ini.

Dalam pada itu, Achmad Riad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan KRI Nanggala-402 hilang dibawa arus ketika sedang terapung.

“Ia berkemungkinan hanyut ke mana-mana sahaja kawasan yang kita jangkakan,” ujarnya.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan kapal itu mungkin tenggelam  pada kedalaman 700 meter iaitu lebih dalam daripada had selamannya.

Pada Rabu lepas, KRI Nanggala-402 dilaporkan terputus hubungan dengan pusat kawalan ketika menjalani latihan di perairan Bali Utara.

Kapal yang membawa 53 kru itu dijadualkan membuat latihan menembak torpedo ketika meminta kebenaran untuk menyelam sebelum terputus hubungan tidak lama kemudian. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI