LIVERPOOL – Hasrat Liverpool untuk melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak terlaksana apabila sekadar seri 1-1 menentang Newcastle United di Anfield sebentar tadi.
Bagaimanapun, skuad kendalian Jurgen Klopp jelas bukan tandingan The Magpies apabila mereka menguasai sepenuhnya perlawanan yang dianggap seperti aksi final oleh The Reds itu.
Liverpool bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Mohamed Salah selepas pertahanan Newcastle gagal mengeluarkan hantaran lintang Sadio Mane.
Tuan rumah sepatutnya boleh menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol pada separuh masa pertama, namun Mane dan Diogo Jota mensia-siakan peluang terhidang.
Sebaik separuh masa kedua bermula, Newcastle memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Joelinton pada minit ke-55, namun percubaannya ditepis penjaga gol Liverpool, Alisson.
Kemudian Liverpool terus melakukan serangan bertali arus ke arah pintu gol Newcastle, namun kecekapan penjaga gol, Martin Dubravka memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi buat kali kedua.
Penyerang Newcastle, Callum Wilson berjaya menjaringkan gol pada minit ke-92, namun jaringannya itu tidak dikira selepas mendapati bola sudah terkena tangan.
Ketika Liverpool sedang berkira-kira meraikan kemenangan, Joe Willock menjadi wira Newcastle apabila meledak gol penyamaan ketika permainan berbaki beberapa saat sahaja lagi.-AGENSI