fbpx

Luqman juara tanpa kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUQMAN HAZIQ mencipta rekod sebagai juara pertama tanpa kekalahan pada Kejohanan Siri Global FIFA Kelayakan Asia Timur 2021.

Oleh SITI NURHEZZATY MOHAMAD HAMDAN

BERHEMPAS pulas sebagai pelajar, pemain daripada GBX Esports iaitu Luqman Haziq Hajiman akhirnya berjaya mencipta rekod juara pertama tanpa kekalahan pada Kejohanan Siri Global FIFA Kelayakan Asia Timur 2021 Ahad lalu.

Kemenangan itu diraih apabila Luqman Haziq, 24, yang merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya berjaya me­numpaskan pasukan dari negara Seberang Tambak, Singapura iaitu Buzzinho dengan jumlah jari­ngan 3-2 di peringkat Grand Final.

Hasil kemenangan tersebut berjaya melonjakkan kedudukan Luqman Haziq di ranking No. 1 di Malaysia, sekali gus melayakkan dia sebagai satu-satunya wakil Asia Timur pertama yang berjaya mara ke FIFA Global Series East Asia Playoff. Kejohanan itu dikatakan bakal berlangsung pada Jun depan.

“Saya begitu bersyukur de­ngan kemenangan ini kerana pada awalnya hanya menyasarkan tempat ketiga untuk memperbaiki kedudukan saya di carta FIFA Global Series.

“Berkat kesungguhan saya dalam menjalani latihan berkua­liti serta sokongan tidak putus-putus daripada ahli pasukan mampu menjadikan saya sebagai juara keseluruhan hingga memenangi kejohanan tanpa keka­lahan,” katanya.

Kejayaannya itu dikatakan antara yang terbaik meman­dangkan dia pada berasa agak sukar apabila hasil undian me­nemukannya dengan pemain terbaik dari Indonesia iaitu Eggsy daripada pasukan RRQ di sam­ping pemain Jepun pada pusi­ngan saringan.

Bagaimanapun, Luqman Haziq berjaya mengharungi peringkat saringan dan meneruskan saingan memburu kejuaraan bersama pemain Singapura dan dua orang pemain Jepun.

Selain itu, kehidupan Luqman Haziq sebagai seorang pelajar juga menjadi cabaran besar buat dirinya memandangkan pembahagian masa dan komitmen masih tertumpu sebagai seorang pelajar berbanding menjadi pemain profesional FIFA.

“Saya akui menjadi pemain profesional FIFA bukan sesuatu yang mudah kerana saya perlu membahagikan waktu latihan serta menyiapkan tugasan latihan dan pada masa sama menjalani kelas dalam talian berikutan pandemik Covid-19.

“Jika para pemain lain boleh melakukan latihan hingga lapan jam sehari, saya mungkin hanya mampu menjalani latihan dua hingga tiga jam sehari. Namun, saya mesti menjalani latihan dengan lebih berkualiti berban­ding latihan yang dijalani oleh pemain lain,” katanya.

Menurutnya, dia menjalankan latihan dalam tempoh tersebut dengan menumpukan kepada kemahiran dan taktikal yang di­cipta sendiri untuk menempuh para pemain hebat lain berikutan waktu yang suntuk untuk mempelajari strategi pihak lawan.

Pada masa ini, Luqman Haziq melakukan persiapan untuk ke EMFL yang menemukannya bersama pemain-pemain terbaik dari asia bagi mendapat tempat di peringkat dunia pula.

“Alhamdulillah, pada peringkat saringan semalam saya telah berjaya mendapat tempat keempat dari kedudukan asal saya iaitu di tangga ke-15 bersama seratus lebih orang pemain terbaik yang berjaya saya harungi.

“Oleh itu, buat masa ini, saya akan fokus pada EMFL terlebih dulu untuk melakukan terbaik kerana perlawanan ini adalah perlawanan terdekat dan berlangsung dua minggu,” ujarnya.

Sebagai rekod, GBX adalah pasukan khas yang dibentuk bagi Kategori FIFA atas kerjasama pasukan e-Sukan Team Bosskur dan juga Gamesbond yang mendapat tajaan dari Unifi, BenQ dan Occasin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI