MESKIPUN bakal membuat kemunculan istimewa dalam filem The Witch 2 tidak lama lagi, sebenarnya ramai yang sudah ternanti-nanti naskhah terbaharu yang bakal menampilkan aktor Lee Jong-suk sebagai watak utama.
Sumber dalam industri mendakwa, pelakon lelaki itu akan menerajui sebuah drama bertajuk Big Mouth tidak lama lagi.
Agensi turut menjawab khabar angin yang sedang berlegar, mengakui bahawa Lee Jong-suk sedang meneliti tawaran drama tersebut dan mempertimbang untuk menerimanya.
Menariknya, menerusi naskhah terbaharunya nanti, aktor berumur 32 tahun itu bakal membawakan watak serius sebagai seorang peguam buat pertama kali sepanjang bergelar pelakon.
“Big Mouth mengisahkan tentang peguam kelas pertengahan yang suka bercakap besar, namun langsung tidak menunjukkan kejayaan dan hasil.
“Kemuncak drama apabila peguam tersebut terpaksa menguruskan satu kes dan perlu menjadi lebih ‘jahat’ daripada si penjenayah bagi melindungi diri dan keluarganya,” beritahu sumber.
Terdahulu, Lee Jong-suk memulakan karier pada 2005 sebagai model sambilan sebelum terjun ke dunia lakonan. Dia juga baru selesai menjalani latihan ketenteraan wajib yang berakhir Januari lalu.