fbpx

Kegagahan D-Max X-Terrain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRAK pikap ini menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci.

LUSA pada pukul 12 tengah hari Isuzu Malaysia akan melancarkan trak pikap D-Max generasi ketiga untuk pasaran di negara ini.

Sedangkan ramai menjangkakan model yang terkenal dengan enjin diesel menjimatkan itu akan dilancarkan pada tahun depan.

Menyorot sejarah, Isuzu D-Max bermula apabila trak pikap dikeluarkan pada tahun 2002 oleh Isuzu Motors untuk pasaran global ini berkongsi platform dengan beberapa model seperti Chevrolet Colorado dan GMC Canyon.

Di Malaysia, Isuzu D-Max generasi pertama dilancarkan pada bulan Jun 2005. Empat tahun selepas itu mereka telah melancarkan model yang dipertingkatkan pula.

Generasi kedua D-Max dilancarkan pada bulan Mei 2013 dan bertahan sehingga sekarang. Antara varian khas yang diperkenalkan sepanjang tempoh itu seperti X-Series Artic dan Beast dengan tawaran unit terhad.

Dua tahun lalu, Isuzu Malaysia turut memperkenalkan enjin diesel baharu pada model yang sama dengan kapasiti 1.9 liter.

REKAAN hadapannya nampak gagah dengan gril yang bersaiz besar.

Berbalik kepada Isuzu D-Max generasi ketiga, dua minggu lalu Isuzu Malaysia telah menjemput penulis dan rakan-rakan media permotoran untuk memandu uji kenderaan ini.

Kami diberikan varian baharu dinamakan X-Terrain dengan spesifikasi tertinggi dalam barisan D-Max generasi ketiga ini.

Dari seri rupa, trak pikap generasi ketiga itu hadir dengan imej lebih gagah dan sedap mata memandang pada keseluruhan bahagian luaran. Gabungan gril bersaiz besar dipadankan bersama lampu hadapan projektor Bi-LED dengan LED DRL automatik.

Pada bahagian sisi, rim aloi bersaiz 18 inci dipasangkan dengan tayar All Terrain. Bahagian belakang pula diserikan kombinasi lampu belakang LED dan bampar dengan imej yang lebih kemas.

Antara ciri menarik pada bahagian luarannya adalah seperti sistem pengelap cermin automatik aerofoil wet (tempat semburan air di bilah pengelap cermin), rel bumbung, tailgate assist (bonet belakang ringan), sliding cargo tray dan cermin sisi lipat automatik.

D-Max X-Terrain ini ditawarkan dengan enjin diesel 3.0 liter turbo dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Kombinasi enjin dan transmisi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 190PS pada 3,600rpm dan tork maksimum setinggi 450Nm pada 1,600 hingga 2,600rpm.

Model ini menggunakan tangki bahan api bersaiz 76 liter.

TULISAN X-Terrain yang turut menghiasi bahagian tepi jentera ini yang berkebolehan meredah air sedalam 800mm.

Isuzu D-Max generasi ketiga dibina menggunakan platform Isuzu Dynamic Drive yang meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan.

Penulis juga dimaklumkan model ini merupakan buatan Isuzu sepenuhnya dan tiada kaitan dengan jenama lain.

Jarak antara roda pada Isuzu D-Max ini ditambah 30 milimeter (mm) bagi memberikan ruang kabin lebih luas. Kenderaan ini juga boleh meredah air sedalam 800mm.

Masuk ke ruang kabin, penulis tertarik dengan rekaan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan kerana nampak bergaya.

Perjalanan ke Alor Gajah, Melaka dari Kuala Lumpur tidak rasa penat kerana rekaan bukan sahaja nampak mewah tetapi berfungsi.

RUANG dalamannya menjadi lebih luas kerana jarak antara tayarnya ditambah 30mm berbanding keluaran sebelum ini.

Antara ciri menarik di bahagian kokpit ialah unit kawalan penghawa dingin dua zon automatik, stereng boleh laras, tombol gear rekaan baharu (sedap dipegang), paparan infotainment bersaiz sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan AndroidAuto.

D-Max X-Terrain turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti Sistem Bantuan Pemandu Termaju (Advanced Driver Assist System) seperti amaran keluar lorong, amaran titik buta, amaran trafik lintasan belakang serta

Autonomous Emergency Brake, Forward Collision Warning dan Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop and Go.

Selain itu, model ini juga hadir dengan tujuh beg udara keselamatan, Isofix, Brake Override System dan Child Protect Safety Lock.

Untuk varian X-Terrain dua warna ditawarkan iaitu Valencia Orange (oren) dan Sapphire Blue (biru).

Isuzu Malaysia juga menawarkan untuk varian ini jaminan selama tujuh tahun tanpa had perbatuan. Maka ini akan melapangkan fikiran pemiliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI