fbpx

Dua beradik tak sambung belajar jaga ibu bapa sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAS IMRAN (tiga dari kanan) dan Mohd. Fadel (kanan) melawat keluarga Syahira di kediaman mereka di Taman Rinting, Masai, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Dua beradik perempuan di Taman Rinting, Masai di sini, terpaksa memba­talkan hasrat untuk menyambung pelajaran kerana terpaksa menjaga bapa yang terlantar serta ibu yang mengalami masalah buah pinggang dan strok.

Syahira Mohamat, 19, meng­am­bil keputusan berhenti sekolah di tingkatan enam rendah perte­ngahan Februari lalu dan kakak­nya, Jamilah, 26, menolak tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) demi menjaga ibu bapa mereka.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, selepas bapa­nya, Mohamat Md. Noh, 68, terlantar akibat diserang strok Februari lalu dia mengambil keputusan berhenti sekolah.

Katanya, Jamilah pula tidak meneruskan pengajian di UiTM demi menjaga ibu yang mengalami masalah buah pinggang dan strok, sembilan tahun lalu.

“Sebelum bapa jatuh sakit, dia bekerja sebagai pemandu trak selain turut membantu menjaga keperluan harian ibu, Asmah Mohd. Yatim, 58, bersama kakak secara bergilir-gilir.

“Ini termasuklah menghantar ibu ke pusat dialisis di Tampoi sebanyak tiga kali seminggu, selain turut membiayai kos pembelian makanan tambahan bagi keperluan ibu,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Terdahulu, Syahira menerima kunjungan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam dan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi di Jalan Meranti, Taman Rinting, Masai di sini.

Ujar Syahira, lebih malang kini apabila bapa mereka turut hilang upaya dan memerlukan penja­gaan ahli keluarga bagi meneruskan kehidupan.

Tambah Syahira, selepas bapanya hilang punca pendapatan akibat sakit, kini mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada pendapatan kakaknya yang bekerja sebagai kerani di kedai menjual kereta dengan gaji RM1,200 sebulan.

“Keperluan perbelanjaan me­nguruskan kedua-dua ibu bapa dianggarkan sebanyak RM1,500 sebulan dan ketika ini, kami menerima bantuan RM400 sebulan daripada Majlis Agama Islam Ne­geri Johor (MAINJ).

“Kami reda dengan ujian Allah. Ketika kecil ibu bapa bersusah-payah menjaga kami dan kini tiba giliran kami untuk membalas jasa mereka,” katanya yang memasang impian menjadi guru Bahasa Inggeris pada masa depan.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat Jamilah iaitu 2207-9168-5620. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI