“IF you have a dream, fight for it (Kalau anda punya impian, berjuanglah untuknya).”
Itu antara perkongsian kata yang terbutir di bibir penyanyi pop dunia, Lady Gaga saat menerima trofi Oscar pertamanya. Pada waktu tersebut, dia menang kategori Lagu Original Terbaik menerusi single hitnya, Shallow.
Kalau bercakap tentang kemanisan kemenangan selepas bertahun meletakkan usaha tanpa erti penat lelah, penyanyi tanah air bernama Kaka Azraff juga ada naratif yang ingin ceritakan kepada umum.
Pemilik nama lengkap Nor Atiqa Noor Azraff itu baru sahaja mengecap kemenangan besar di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) sekitar sebulan lalu. Dia berjaya menggenggam trofi berprestij berkenaan menerusi lagu Gila hasil kolaborasi dengan Noki K-Clique dan Loca B.
Kata Kaka, 32, dia berusaha keras untuk menempatkan diri dan langkah awalnya dibantu rakan seindustri, Zizan Razak yang pernah membawa dirinya berduet menerusi single debutnya, Bawa Daku Pergi.
Curi-curi pakai ‘tester’
Bukan itu sahaja, Kaka mendedahkan dia pernah merasakan dirinya sebagai penyanyi picisan dalam industri. Kini, dia akhirnya mampu tersenyum apabila bakatnya semakin mendapat perhatian.
“Selepas tamatnya AJL35, saya sempat berjumpa Zizan dan kami sama-sama menangis ketika mengimbau cerita kolaborasi pertama.
“Saya sangat berterima kasih kepada Zizan sebab dia punca saya berada dalam industri seni dan bantu naikkan nama saya. Dia tidak pernah mendabik dada atau bermegah tentang perkara itu.
“Ketika itu, saya sangat susah sehinggakan nak buat show pun terpaksa curi-curi bersolek guna ‘tester’ alat solek di farmasi. Tetapi Zizan tak pernah pandang rendah kepada saya,” luahnya.
Memandang ke hadapan seraya masih terbuai dengan kejayaan hari semalam, Kaka yang juga merupakan anak saudara Ratu Rock Malaysia, Ella kini tampil dengan lagu terbaharunya, Janjiku.
Lagu ciptaan bersama komposer dan penulis lirik MFMF dan Tysha Tiar itu merupakan terjemahan dan inspirasi daripada perjalanannya sebagai isteri dan ibu.
Suami bukan siapa-siapa
“Lagu ini merupakan satu karya yang bersifat sangat peribadi buat saya sebab ketika membuat keputusan untuk berkahwin, ada suara-suara yang tidak gembira dan banyak perkara yang menjatuhkan semangat saya dan suami, Adam Azriff.
“Hal itu kerana suami tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Dia tidak punya apa-apa. Tapi saya percaya dengan dia. Tambahan pula, dia bergelut dengan masalah anxiety atau kerisauan melampau
“Banyak yang kami lalui untuk sampai ke hari ini. Apa yang penting, kami berpegang kepada janji sebelum mendirikan rumah tangga. Alhamdullah, kehidupan kami bahagia kerana saling mendukung dan sentiasa bergerak ke depan,” katanya.
Secara peribadi, Kaka turut menyifatkan karya berkenaan sebagai wasiat buat suami dan anaknya, Aslan yang kini berusia tiga tahun.
“Lagu ini juga ibarat wasiat buat suami dan anak. Sekiranya saya sudah tiada, saya janji akan terus berada dalam kehidupan mereka. Apa yang saya cuba sampaikan, ada dalam dalam lagu itu,” ujarnya usai pelancaran Janjiku di Kotak Hitam, Setia Alam baru-baru ini.
Kaka juga mahu menjadikan Janjiku sebagai inspirasi kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
“Kalau sudah jumpa pasangan sesuai, anda lebih tahu apa yang terbaik dan jangan fikir apa orang lain nak katakan. Apabila bergaduh, jangan cepat mengalah dan sentiasa ingat kepada janji yang anda berdua buat sebelum berkahwin,” jelasnya.
Adam, Aslan berlakon MV
Istimewanya, Kaka turut menampilkan suaminya dan anak mereka, Aslan, dalam video muzik (MV) Janjiku.
“Mula Adam enggan turut serta. Kemudian saya sengaja buat dia cemburu dengan menunjukkan wajah pelakon lelaki yang akan bergandingan dengan saya, terus dia ubah fikiran.
“Sejak awal, pasukan produksi sudah maklumkan akan melibatkan Adam dan Aslan, jadi saya cukup teruja kerana lagu itu mengenai mereka,” katanya.
Mengimbau kembali kemenangannya dalam AJL35 baru-baru ini, Kaka bersyukur kejayaan itu sedikit sebanyak dapat membanggakan ibu saudaranya.
Membawa emosi sarat dengan pelbagai dugaan yang ditempuh sebelum AJL35 berlangsung, Kaka mengakui lega dapat melepaskan segala kesesakan di atas pentas.
“Banyak dugaan berlaku, lebih-lebih lagi dengan pemergian nenek saya. Saya terpaksa tahan segala emosi demi memberi tumpuan terhadap AJL35.
“Kemenangan itu seperti menjawab segala persoalan tentang keupayaan saya berada dalam industri seni.
“Alhamdulillah saya akhirnya percaya sudah berusaha keras membawa diri dalam industri dan bukan menumpang nama semata-mata,” ujarnya menggulung perbualan.