RAPPER terkenal CL mengakui tertekan apabila banyak pihak termasuk peminat mendesaknya untuk melakukan pembedahan plastik, terutama pada kelopak mata.
Menerusi wawancaranya bersama majalah Allure Korea, CL memberitahu dirinya sering digambarkan sebagai topeng yang mempunyai sikap dan karakter tersendiri.
CL atau nama sebenarnya Lee Chae-rin, 31, turut menyatakan tekanan yang dihadapinya dalam industri hiburan lebih-lebih lagi melibatkan imejnya.
“Saya sering diminta untuk melakukan pembedahan kelopak mata bagi menyesuaikan diri dengan standard kecantikan sekeliling.
“Saya sedih, marah dan tertekan dengan perkara ini. Mengapa semua orang mengkritik penampilan terutama kelopak mata saya,” luahnya dalam wawancara tersebut.
Pada masa sama, penyanyi lagu The Baddest Female itu menyatakan dia tidak akan sesekali melakukan pembedahan dan menyifatkan bahawa kecantikan sebagai hak peribadi yang tidak boleh dipaksa.
Terdahulu, CL memulakan debutnya bersama kumpulan 2NE1 pada 2009 sehinggalah kumpulan itu dibubarkan pada 2016
CL kemudiannya meninggalkan agensi, YG Entertainment dan memberi tumpuan untuk karier solonya sebagai penyanyi dan penulis lagu.