fbpx

Berbuka di tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD ZAHIDI (kiri) dan rakan-rakan reda tidak berjumpa keluarga ketika Ramadan dan Syawal demi menjalankan tugas menjaga kedaulatan perairan negara.

KOTA TINGGI – Kedatangan Ramadan dan kemeriahan Sya­wal yang bakal tiba benar-benar menyentuh hati anggota Maritim Malaysia (APMM) apabila ter­kenangkan keluarga masing-ma­sing di saat mereka berjuang di tengah laut menjaga kedaulatan negara.

Laskar Kelas II Maritim, Mohammad Zahidi Ali, 24, berkata, perkara yang paling dirindui ialah ibu yang dipanggil umi akan menyuapkan makanan kepadanya dan adik-beradik terutama di pagi hari raya.

Namun, kata operator radio APMM itu, semua itu terpaksa diketepikan demi tugas hakiki iaitu menjaga perairan daripada diceroboh.

“Saya hanya berhubung de­ngan keluarga melalui telefon untuk melepaskan rindu. Jika ada talian, saya cuba hubungi mereka sekerap mungkin yang berada di Semporna, Sabah. Tahun ini masuk tahun ketiga saya beraya di perantauan.

“Umi (ibu) seorang ustazah, ayah dan abang pula cikgu. Memang tradisi umi akan menyuap makan buat anak-anaknya terutama di pagi Syawal,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Tambahnya, tahun pertama berjauhan dengan keluarga membuatkan dia menangis, namun ia menjadi biasa apabila masuk tahun kedua dan ketiga.

Rakan setugas Mohammad Zahidi, Laskar Kelas I Maritim Mohd. Basir J. M. Abdul Maid, 29, memaklumkan dia sudah empat tahun tidak menyambut raya bersama keluarganya di Sandakan, Sabah.

Dia yang kini turut menyambung pengajian Sarjana Muda Sastera dalam bidang Geografi di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang berkata, tidak mudah untuknya menempuh alam pekerjaan di samping melakukan pengajian jarak jauh (PJJ).

“Tahun ini merupakan tahun keempat saya membuat PJJ insya-Allah yang dijangka tamat pada Ogos tahun depan.

“Paling lama berada di laut sekitar dua minggu kerana ia bergantung kepada saiz kapal dan masa yang terluang saya manfaatkan sepenuhnya menelaah buku,” katanya yang bertugas di bahagian Radar Plotter.

Kedua-dua anggota terbabit ditemui ketika menjalankan operasi menggunakan aset kapal KM Perwira di sekitar perairan timur Johor di sini.

Operasi disertai Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria yang bertujuan meninjau operasi penguatkuasaan sepanjang bulan Ra­madan di sekitar perairan Johor Timur itu turut disertai petugas media. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI