PETALING JAYA – Dunia glamor yang dikecapi pelakon drama Nur 2, Azar Azmi ketika ini datang daripada kehidupan lampau yang penuh ranjau dan kepayahan.
Cerita Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 31, dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk membantu keluarganya ketika dia masih kecil.
Katanya, dia tidak dilahirkan dalam keluarga yang senang dan sedar betapa sukarnya mencari wang.
“Saya lahir daripada golongan keramaian (orang biasa) dan tahu susahnya hendak mencari duit.
“Saya pernah melakukan pelbagai kerja seperti jual aiskrim Malaysia, tolong arwah ibu dan arwah ayah jual nasi lemak dan ikan di depan rumah. Sayalah yang menimbang, menyiang dan mencuci ikan,” kata Azar dalam akaun Instagram miliknya.
Tambahnya, dia akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk mengikut arwah bapanya mengambil ikan di jeti.
Menurut usahawan pakaian itu, dia juga pernah jual pisang goreng di depan rumahnya selepas balik sekolah.
Azar turut berkongsi pengalamannya bekerja secara sambilan di sebuah butik pengantin selain daripada menjual barangan kraf tangan.
Biarpun pernah meniti perjalanan sukar, Azar tetap merasakan bahawa kehidupannya yang dahulu sangat manis.
“Susah yang dahulu menguatkan saya pada hari ini. Saya bersyukur dengan cara saya membesar. Sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan walaupun saya dicampak di mana juga.
“Betapa saya rindukan mak dan ayah saya,” katanya yang sudah kehilangan kedua-dua ibu bapanya sejak beberapa tahun lalu. -K! ONLINE