fbpx

Alahan hamil bukan mengada-ngada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

APABILA penulis membaca satu artikel berkenaan sindiran seorang lelaki kepada isterinya yang mengalami alahan ketika hamil, hati ini tiba-tiba panas.

Penulis tidak menyangka masih wujud pemikiran bahawa alahan atau morning sickness itu adalah lakonan semata-mata.

Tahukah anda, alahan adalah perkara yang nyata dan bukan diada-adakan oleh wanita hamil.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Fertiliti Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Maiza Tusimin, alahan dalam terma klinikal dikenali sebagai nausea and vomiting of pregnancy (NVP).

Kira-kira 8 daripada 10 ibu hamil akan mengalaminya pada trimester pertama dan boleh berlarutan sehingga awal trimester kedua.

Walaupun disebut sebagai morning sickness, ia boleh berlaku pada bila-bila masa terma­suk pada waktu malam.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya NVP adalah pe­ningkatan hormon estrogen dan progesteron, deria bau dan rasa yang tajam ketika hamil serta air liur berlebihan yang membuatkan rasa mual.

Percayalah, perasaan hendak muntah atau perasaan mahu tidur sepanjang hari bukan sekadar inginkan perhatian, malah boleh dianggap normal.

Jika mahu bercakap berkenaan alahan luar biasa, ada satu keadaan alahan serius yang di­sebut Hyperemesis Gravidarum (HG) yang dialami segelintir ibu hamil (0.3 – 2%)

“Jika ibu mengalami HG, saya harap orang sekeliling terutama suami dan keluarga terdekat tidak memandang remeh atau dijadikan bahan gurauan.

“HG adalah keadaan alahan yang boleh memudaratkan kesihatan dan tanpa rawatan segera, ia boleh membawa maut,” tegas Maiza.

Antara tanda ibu hamil yang mengalami HG adalah muntah teruk lebih 10 kali sehari, hilang berat badan mendadak, tekanan emosi yang berlebihan dan sukar melakukan aktiviti seharian kerana terlalu lemah.

Penulis pernah melihat bagaimana rakan rapat yang mengalami HG tidak mampu berbuat apa-apa dan selama hampir sembilan bulan kehamilan, dia hanya mampu terbaring.

Dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan kerana tidak boleh memandu kereta untuk ke tempat kerja dan tidak boleh melihat cahaya matahari.

Baru-baru ini, seorang selebriti media sosial, Nadhira Brun­dage berkongsi pengalamannya berdepan HG bagi dua kehamilan anak dan bagaimana persepsi orang sekeliling tentang keadaan itu.

Menurut Nadhira, acap kali dia menerima gurauan berbaur sindiran apabila ada yang menge­tahui tentang alahan yang dialaminya.

“Mereka sering berkata seronok juga alahan, saya pun mahu rasa sakit seperti itu sebab nanti boleh cuti sakit lama.

“Saya hanya diam kerana apa yang saya alami bukan sekadar alahan. Saya terasa seperti mahu mati,” tulisnya di Instagram.

Isteri kepada pengarah filem Terbaik Dari Langit, Nik Amir Mustapha ini turut memberitahu dia hanya mampu memakan biskut tawar dan mencium bau le­mon sepanjang kehamilan.

Bagi penulis, setiap ibu hamil memerlukan sokongan moral yang tinggi terutama daripada si suami kerana proses itu bukan satu tempoh yang mudah untuk ditempuh terutama jika banyak komplikasi yang terjadi.

Jadi, bakal-bakal bapa di luar sana, beringatlah sebelum bergurau. Isteri bertarung nyawa demi penyambung keturunan anda, jika tidak mampu berkongsi beban, jangan ditambah sakit yang sudah ada. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI