fbpx

‘Wartawan palsu’ dan ‘hakim’ di tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kemalangan yang menimbulkan salah faham dalam kalangan 'wartawan jalanan' baru-baru ini.
MOHD. SYALMIZI
HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

SITUASI orang ramai menyerbu lokasi kemalangan adalah perkara biasa.

Terdapat individu berhati mulia yang segera memberi bantuan kepada mangsa, namun kebanyakannya sekadar melihat.

Bagaimanapun, ada juga yang berperanan mengeruhkan kea­daan dengan menjadi ‘wartawan palsu’ dan ‘hakim jalanan’ yang menjatuhkan hukuman tanpa fakta mengenai sesuatu kejadian.

Kewujudan individu ini sering mencetuskan keadaan tegang apabila mereka dengan mudah mempengaruhi orang lain untuk menyalahkan pihak lain mengikut emosi dan andaian.

Kisah-kisah tular di media sosial sebelum ini membuktikan senario itu sehinggakan ada mangsa kemalangan yang tidak mengalami kecederaan berakhir dengan tragedi berdarah apabila dipukul beramai-ramai.

Kemalangan jalan raya di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini misalnya menjadi tular apabila satu rakaman video memaparkan seorang lelaki yang baru terlibat kemalangan disergah dua lelaki yang mendakwa kejadian itu berpunca darinya.

Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 50-an yang kelihatan terpinga-pinga itu dituduh melanggar lampu isyarat dan memandu dalam keadaan mabuk.

Rakaman itu memaparkan lelaki terbabit yang wajahnya kelihatan cemas dan ketakutan menafikan dakwaan tersebut sambil mengusap-usap lengan.

Dalam masa sama, muncul dua video lain dari sudut berbeza yang membuktikan lelaki itu sebenarnya tidak bersalah.

Video terbabit secara jelas menunjukkan kereta mangsa sedang berhenti di satu persimpangan lampu isyarat sementara menunggu lampu merah bertukar hijau.

Kelihatan di dalam rakaman itu adalah sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu laju dan tidak sempat membrek telah melanggar belakang kereta Pe­rodua Myvi dan kereta lain.

Jika suara ‘pemfitnah’ itu berterusan sehingga ke telinga banyak pihak, tidak mustahil lelaki yang hanya cedera ringan tersebut akan menjadi mangsa pukul orang awam yang tidak dapat mengawal emosi marah.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, tindakan orang awam menyerang mangsa kemalangan merupakan satu perbuatan jenayah.

“Tindakan memukul seseorang yang lain bukan kerana mempertahankan diri adalah kesalahan mutlak perundangan.

“Tidak kira apa senarionya sama ada kejadian kemalangan, di kedai makan atau di dalam rumah ibadat sekalipun, pelaku boleh dituduh mencederakan seseorang di bawah Kanun Ke­seksaan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, orang ramai sepatutnya berperanan memberikan bantuan awal kepada mangsa seperti menghubungi pihak berkuasa dan memastikan kawasan kemalangan selamat daripada sebarang risiko.

Sementara itu, Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad ketika dihubungi berkata, tindakan di luar kawalan oleh orang ramai terhadap sesuatu kejadian kemalangan adalah didorong oleh faktor tolak-tarik.

“Ia berlaku kerana sikap dan kekurangan pemikiran sivik dalam kalangan orang awam di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, tindakan itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ia turut didorong akibat gaya pemanduan sesete­ngah pengguna jalan yang berbahaya sehingga mewujudkan sentimen tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI