PETALING JAYA – Media sosial Twitter pada hari ini panas dengan ciapan-ciapan warga Twitter tentang isu pelajar perempuan diperiksa di bahagian kemaluan untuk membuktikan sama ada mereka tidak boleh solat atau mereka sengaja menipu untuk tidak solat.
Menerusi sebuah ciapan di Twitter mengatakan ramai pelajar perempuan mengalami situasi sebegini walaupun perkara tersebut sudah berlalu beberapa tahun yang lepas.
Kebanyakan ciapan di Twitter mengatakan mereka terasa dicabul apabila sesetengah warga pendidik melakukan pemeriksaan di bahagian kemaluan mereka.
Lebih parah, mereka tidak sedar bahawa perbuatan seperti itu merupakan gangguan seksual. Rata-rata netizen baru menyedari tentang perkara tersebut setelah tular di Twitter.
Menurut seorang netizen, ketika berumur 11 tahun, dia diperiksa oleh ustazahnya untuk memastikan bahawa dia tidak menipu sehingga ustazah tersebut meraba di kemaluan. Dia juga diminta untuk menunjukkan tuala wanita kepada ustazah tersebut.
“Pada awalnya, ustazah hanya pegang di bahagian luar. Tetapi, dia mengajak saya ke tandas untuk melihat tuala wanita yang saya pakai. Selepas kejadian itu berlaku, saya sentiasa berasa takut apabila setiap kali datang haid,” jelas seorang netizen dikenali sebagai DoffodilSm.
Seorang perunding motivasi yang dikenali sebagai Akhi Fairuz berkata, perbuatan yang dilakukan itu adalah salah. Cikgu ataupun ustazah sekalipun, perkara yang salah tetap salah.
“Perbuatan yang mereka lakukan itu adalah salah, jijik dan jahil. Masih ada juga yang menyokong perbuatan ini. Cikgu atau ustazah, perkara yang salah kena kata salah. Adakah perkara sebegitu amalan agama?,” katanya.
Para netizen berharap setelah isu ini tular, tiada lagi kes cabul kerana datang haid sehingga ‘spotcheck’ dilakukan di bahagian yang tidak sepatutnya. – K! ONLINE