LONDON – Arsenal berdepan tugas sukar untuk meraih semula sokongan para penyokongnya selepas Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette tidak akan beraksi bertemu Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi esok.
Ketiadaan dua penyerang prolifik itu menyukarkan peluang The Gunners untuk mencatat tiga mata bagi menggembirakan penyokong-penyokong fanatik mereka yang masih terkilan disebabkan tindakan menyertai penubuhan Liga Super Eropah (ESL) baru-baru ini.
Aubameyang, 31, belum sembuh daripada serangan malaria, manakala Lacazette, 29, masih menjalani proses pemulihan terhadap kecederaan hamstring kaki kiri dialaminya ketika seri 1-1 dengan Fulham pada Ahad lalu.
“Alex (Lacazette) akan meneruskan sesinya bersama pasukan perubatan dan tidak akan mengambil bahagian untuk perlawanan menentang Everton. Situasinya akan dinilai untuk aksi minggu depan.
“Auba (Aubameyang) juga tidak akan turut serta bertemu Everton. Kami berharap dia dapat kembali menjalani latihan ringan hujung minggu ini,” menurut kenyataan Arsenal.
Bagaimanapun, kem Arsenal mendapat khabar gembira apabila Martin Odegaard dilaporkan sudah mula berlatih bersama skuad utama sejak mengalami kecederaan ketika tugasan antarabangsa dengan Norway awal bulan ini.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dijangka enggan mengambil risiko menurunkan anak-anak buahnya yang masih belum cergas bertemu Everton kerana sasaran utama mereka musim ini adalah trofi Liga Europa.
Sebagai rekod, The Gunners diundi bertemu Villarreal yang dibimbing bekas pengurus, Unai Emery untuk aksi separuh akhir pertama Liga Europa di Estadio de la Ceramica pada 30 April ini. – AGENSI